Mencari Diri di Asmaulhusna!

Artikel Oleh: anaqsabah

"DAIF.... Apakah JHAEINS berbangga dengan pencapaian mereka mempunyai sekolah agama yang dibina Allahyarham Haji Khamis namun bagaikan melukut di tepi gantang di persada pendidikan negara?

BACAAN ayat suci Al-Quran dan dendangan nasyid Asmaulhusna yang dipersembahkan oleh para pelajar Sekolah Agama Negeri Haji Khamis, Batu 1, Lahad Datu menyebabkan saya khusyuk mencari kekerdilan diri saya di antara 99 nama Tuhan dan cuba mentafsir ayat suci yang berkumandang.

Sebagai manusia kerdil yang cuba untuk memanusiakan diri di celah kebesaran Illahi, saya insaf bahawa siapalah saya untuk berkata tidak kepada ketentuan Illahi yang melantik saya sebagai Ahli Parlimen Malaysia di celah-celah kebuntuan masyarakat Silam menuntut ilmu yang semakin meninggalkan kita semakin jauh kerana kemunduran prasarana.

Tanpa restu dan keesaan Allah, saya tidak akan mampu untuk merubah sikap masyarakat saya yang masih bergantung kepada Kerajaan dan bergelut dengan kehidupan yang semakin sukar di celah kemakmuran negara terutama dalam bidang keagamaan dan tidak mempunyai sikap 'percaya diri' serta tidak mempunyai kekentalan semangat untuk berdikari seperti penganut agama lain.

Dengan peruntukan yang agak terhad, saya hanya mampu meluluskan sejumlah peruntukan di antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi melakukan sedikit pemulihan terhadap sekolah yang amat daif dari segi prasarana ketika gelombang kebangkitan '1Malaysia' menerpa tanpa persediaan masyarakat setempat untuk menerima.

Dalam senario masyarakat dan umat Islam yang masih terlena dibantal 'impian subsidi', gelombang transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak telah membadai mereka ke tengah lautan keliru.

Saya menyusun sepuluh jari dan dari sudut hati saya yang paling dalam, memohon kemaafan agar umat Islam di Silam tidak meletakkan semua beban ke atas bahu saya sekiranya tidak mampu untuk memberikan peruntukan yang lebih kerana geran RM1 juta yang diperuntukan kepada saya terpaksa disalurkan kepada projek kecil bagi kawasan yang amat luas, daripada Tambisan sehingga ke Kunak.

Saya beristigfar dan bermunajat pada Illahi serta mensyukuri nikmat Allah yang telah memberi saya kekuatan untuk menegur sikap rakyat dan pemimpin di Silam yang selama ini bersikap lepas tangan dan gemar 'memindahkan beban' kepada kerajaan sedangkan mereka mampu untuk melakukan perubahan seperti penganut agama Kristian, Buddha dan Hindu yang lebih berdikari dalam pembangunan rumah ibadat dan pelajaran agama mereka secara lebih sistematik.

Mungkin saya adalah Ahli Parlimen Malaysia yang paling malu untuk menyatakan di Parlimen bahawa Islam telah diamalkan dengan sempurna di Silam jika Sekolah Agama Rakyat Haji Khamis dibina 53 tahun lalu dan telah diambil alih oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sejak beberapa tahun lalu begitu daif dan memalukan.

Sebelum ini saya telah meluluskan beberapa peruntukan kecil namun ianya tidak memberikan sebarang makna jika ianya tidak dapat digunakan apabila pendawaian elektrik untuk sekolah ini hanya menggunakan 'single phase' sedangkan semua peralatan yang diberikan memerlukan 'three phase'.

Peruntukan yang saya salurkan adalah atas permohonan PIBG sewajarnya disalurkan oleh JHAEINS jika pegawai berkenaan turun padang menilai keperluan umat Islam yang merintih di dalam kepedihan dan meratap dalam kehinaan apabila agama mereka dipersendakan!

Jika jalan diturap setiap tahun sekalipun tidak rosak namun sekolah agama yang melahirkan Insanul Kamil yang taat kepada perintah Allah sejak 53 tahun dahulu seperti sekolah pondok atau pesantren yang didirikan oleh nenek moyang saya di Pulau Omadal di zaman British, sejak era Magindora.

Lantai yang tidak berjubin, dinding yang kotor dengan contengan, siling yang tidak bercat, tandas yang tidak berair, bilik darjah yang sempit, meja dan bangku yang tidak selesa, bilik guru yang sama besar dengan 'tin sardin' dan sebagainya mencerminkan bahawa kita tidak sensitif terhadap keperluan prasarana bagi melestarikan impian kita dan guru untuk mendidik zuriat kita menjadi manusia yang berguna dan gemilang di masa hadapan.

Islam mementingkan kesucian, kebersihan dan keindahan namun jika kita gagal mentafsir dan mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, maka kita mungkin tergolong di kalangan manusia yang sentiasa berada di dalam kerugian.

Saya mungkin tidak mampu melakukan visi dan misi Perdana Menteri Malaysia seorang diri di Silam tanpa bantuan, sokongan dan doa seluruh rakyat Silam tanpa mengira etnik, fahaman politik atau jurai keturunan.

Dengan tanggung jawab yang agak besar dan kesempatan yang agak terhad, adalah tidak mungkin bagi saya untuk melakukan 'silap mata' melakukan transformasi sekelip mata, namun usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal jemu harus dipadu untuk memastikan nasib sekolah agama kita tidak seperti nasib akhbar jawi terutama Utusan Melayu yang semakin tersisih dan dilupakan masyarakat.

Kesungguhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memilih bumi para Anbia di Silam untuk projek papantanda Jawi telah memberikan saya semangat untuk melakukan transformasi mengikut kemampuan saya dan penerimaan masyarakat yang ingin berubah mengejar kemajuan pendidikan duniawi dan ukhrawi, tanpa gentar dengan ledakan globalisasi yang semakin menampan kemajuan umat Islam kerana ketandusan ilmu dan kegelinciran semangat disebabkan kekurangan daya saing dalam bidang teknologi pendidikan.

Saya memohon kerjasama para ibu bapa agar berganding bahu bersama saya, guru-guru dan anak-anak mereka untuk memastikan 'impian menjadi realiti' yang tidak dapat disangkal oleh apa juga halangan yang mendepani kita kerana Nur Islam akan terus bersinar walaupun kita menghadapi pelbagai hambatan yang tidak kita jangka.


HAJI SALLEH HAJI KALBI
Ahli Parlimen Malaysia
P 188 Silam.