Bukan kali pertama


Comment yang aku takleh tengok dalam page friendster

Pilihan Raya Umum : Peringatan penting kepada penyokong, pengundi PAS!

Pilihan Raya Umum : Peringatan penting kepada penyokong, pengundi PAS!
Saari Sungib (abuurwah@gmail.com)
Tue | Aug 21, 07 | 09:34:50 AM

1.Kepada siapa panduan ini ditujukan?


Panduan ini ditujukan kepada ahli-ahli PAS dan mereka yang menyokong perjuangan PAS serta pernah mengundi PAS dalam pilihan raya-pilihan raya umum yang lalu dan kini bercadang untuk terus mengundi PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

2.Kenapa panduan ini bercakap tentang anda?

Kami amat berbesar hati kerana anda sudi menjadi ahli PAS. Kami juga bersyukur kepada Allah dan amat bangga kerana anda berani dan sanggup menyokong perjuangan PAS. Kami percaya anda mesti mempunyai sebab-sebab tertentu yang menjadikan anda menyertai PAS sebagai ahli dan menyokong perjuangannya.

3.Apakah yang telah anda sumbangkan?

Kami amat menghargai penyertaan anda sebagai ahli PAS dan kami juga menyanjung peranan yang telah anda lakukan sebagai penyokong setia PAS. Di atas sumbangan itulah anda telah membantu untuk menjadikan PAS sebuah parti Islam yang berwibawa di negara ini.

Dengan sokongan dan dukungan anda, kini PAS mampu berdiri gagah membariskan para pemimpin yang bercakap tentang kepentingan rakyat. Mereka bercakap dalam majlis-majlis penerangan di seluruh negara dan juga dalam sesi-sesi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Di atas dukungan anda juga pada hari ini PAS terus mampu bertahan untuk mentadbir dan memerintah kerajaan Negeri Kelantan dengan jayanya.

4.Apakah yang diharapkan seterusnya dari anda?

Harapan kami adalah agar anda terus teguh menjadi ahli dan penyokong PAS. Kami doakan agar kita sama-sama dianugerahkan oleh Allah kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Untuk itu, kami menyeru agar anda lakukanlah apa yang anda mampu untuk terus bersama-sama PAS.

5.Apakah paling minimum yang anda perlu lakukan?


Perkara paling minimum yang anda perlu lakukan adalah mengundi PAS dalam Pilihanraya Umum ke-12.

Jika PAS tidak bertanding di tempat anda mengundi, hendaklah anda mengundi PKR, iaitu Parti Keadilan Rakyat atau parti-parti yang menjadi sahabat PAS dalam pilihan raya akan datang.

6.Bilakah Pilihan Raya Umum ke-12 akan diadakan?

PAS menjangkakan Pilihanraya Umum ke-12 akan diadakan selewat-lewatnya pada akhir bulan Mac 2008. Terdapat juga kemungkinan ianya akan diadakan pada hujung tahun ini. Antara tarikh yang disebut-sebut adalah 24 November 2007.

7.Apakah yang perlu anda lakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12

Perkara yang perlu anda lakukan adalah menyemak dari SPR nama dan tempat mengundi anda. Ingatkan juga isteri atau suami serta anak-anak anda yang sudah mendaftar untuk berbuat demikian. Sebaik-baiknya anda juga memberitahu saudara-mara anda untuk menyemak nama dan tempat mengundi mereka masing-masing.

8.Apa yang mesti anda lakukan jika nama anda tiada dalam daftar pemilih?

Anda mesti membuat aduan kepada SPR dan pastikan nama anda yang tepat dimasukkan dalam daftar pemilih beserta kawasan mengundi menurut alamat yang terdapat dalam kad pengenalan anda. Anda juga mesti membuat aduan jika terdapat saudara-mara atau rakan-rakan terdekat anda yang menghadapi masalah yang sama.

9.Apakah lebih dari itu yang boleh anda lakukan?

Sekiranya anda seorang ahli PAS dan mengenali mana-mana ahli jawatankuasa di peringkat cawangan atau kawasan, hubungi mereka dan nyatakan kesediaan anda untuk terlibat dalam jentera pilihan raya sama ada di peringkat DUN ataupun Parlimen.

Sekiranya anda seorang penyokong PAS dan ingin menyertai PAS, silalah hubungi ahli-ahli PAS yang anda kenal untuk mengisi borang menjadi ahli PAS. Apapun, anda masih boleh terus menyokong PAS tanpa menjadi ahli dengan membantu perjalanan jentera pilihan raya di tempat anda.

10.Apakah tugas anda yang paling utama sekarang?

Tugas paling utama anda lakukan sekarang adalah bertemu dengan seramai orang yang boleh anda temui.Anda mesti cuba memenangi hati orang ramai, meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.

11.Untuk apa anda menemui orang ramai?

Tujuan utama bertemu orang ramai adalah untuk menjalin persahabatan dan mewujudkan silatur-rahim. Sebagai orang yang prihatin terhadap agama, rakyat dan negara, anda mampu menampilkan sahsiah yang mulia kepada mereka. Bergaullah secara positif dan mesra dengan mereka. Jadikanlah mereka merasa selesa dengan anda.

Jika sebelum ini mereka mempunyai tanggapan yang negatif terhadap orang PAS, jadikan jalinan persahabatan anda dengan mereka sebagai satu cara untuk mengetuk pintu hati mereka menerima PAS.

12.Mengapa terdapat orang-orang sekeliling anda bersikap negatif terhadap PAS?

Tanggapan negatif terhadap PAS adalah kesan daripada media kerajaan yang berperanan memburuk-burukkan parti-parti dan pemimpin-pemimpin alternatif.

Pada masa yang sama, sebahagian besar ahli-ahli PAS hanya berkumpul dan bergaul sesama sendiri. Pergaulan ahli-ahli PAS tidak cukup meluas untuk merentasi seramai mungkin masyarakat setempat dan jiran tetangga.

Imej negatif yang dicetak dalam minda masyarakat melalui media kerajaan serta tindakan sebahagian besar ahli PAS sendiri yang tidak bersungguh-sungguh melebarkan jalinan persahabatan dan pergaulan dengan masyarakat mestilah diperbaiki.


13.Siapakah yang akan memainkan peranan memperbaiki tanggapan negatif ini?


Sudah tentu andalah orangnya yang mesti memainkan peranan ini. Sahsiah, perilaku serta kemesraan yang anda pamerkan dalam hubungan anda dengan masyarakat keliling akan membantu merubah tanggapan negatif terhadap PAS.

Setiap ahli dan penyokong PAS hendaklah bertemu dan menjalin hubungan dengan orang ramai tanpa mengira kaum mahupun pegangan politik mereka. Sama ada di kota mahupun di desa, di ladang, di estet, di kilang mahupun di pejabat-pejabat korporat yang tersergam megah, anda mestilah dilihat sebagai seorang yang mempunyai sahsiah Islam yang tinggi.

14.Bagaimana anda boleh memainkan peranan tersebut?

Mulakan dengan jiran-jiran anda.Anda mestilah tampilkan sifat-sifat mulia sebagai seorang muslim atau muslimah yang beramal dan menghayati tuntutan Islam. Banyakkan memberi salam, jangan segan untuk memulakan perbualan dan jadilah orang yang pemurah dengan senyuman.

Jika di kawasan perumahan anda terdapat surau atau masjid, rajin-rajinlah ke surau atau masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Jika ada peluang untuk anda terlibat dalam mana-mana jawatankuasa di kawasan perumahan anda, ambillah peluang tersebut untuk bergaul dan bekerjasama dengan jiran-jiran dan ahli-ahli kariah anda.

15.Apakah tujuan bergaul mesra dengan jiran tetangga?

Anda perlu sasarkan setiap dua orang jiran yang anda temui, sekurang-kurangnya seorang daripadanya benar-benar mampu anda dekati dan menangi hatinya.

Ini bermakna, jika ada sepuluh buah rumah jiran terdekat anda, pastikan sekurang-kurangnya lima buah keluarga di kalangannya yang dapat anda menangi hati mereka.

16.Bukankah masa anda terbatas untuk bergaul dengan jiran?

Ya, masa yang anda miliki memang terbatas. Tetapi hidup dan berinteraksi dengan jiran-jiran anda adalah suatu keadaan yang anda lalui secara berterusan selagi mana anda tinggal di sesuatu kawasan perumahan. Oleh itu, bagaimana terbatas sekalipun peluang itu, manfaatkanlah sebaik-baiknya ruang untuk bergaul dan mencari kawan.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk memenuhi jemputan jiran anda untuk menghadiri kenduri tahlil, majlis membaca Ya Sin atau majlis perkahwinan anak mereka.

17.Jika jiran anda bukan orang Islam?

Anda perlu bergaul baik dengan jiran-jiran yang bukan beragama Islam. Beri hadiah kepada mereka.Kirim kad ucapan tahun baru atau sambutan kebudayaan mereka. Undang mereka ke majlis-majlis yang anda anjurkan jika sesuai dengan keadaan dan waktu. Galakkan anak-anak anda berkawan dengan anak-anak mereka.

Hadiahkan kepada mereka buah-buahan seperti rambutan, manggis dan durian pada masa musim buah-buahan. Jika anda ada risalah yang sesuai dengan mereka atau dalam bahasa ibunda mereka, edarkan risalah tersebut seluas mungkin.

18.Di mana lagi anda boleh bergaul dengan orang ramai?

Bergaullah di tempat kerja. Manfaatkan masa yang anda ada di tempat kerja untuk menampilkan imej anda sebagai seorang ahli PAS yang beramal dengan Islam. Anda mesti sentiasa ceria, dinamis dan mesra. Perwatakan anda mesti menunjukkan anda seorang yang amanah, kompeten dan bersungguh-sungguh menjalankan tugas di tempat kerja.

Jadikan keperibadian anda yang disenangi oleh rakan-rakan sebagai jambatan utama bagi anda menyampaikan mesej yang diperjuangkan oleh PAS.

Sekali lagi sasarkan bagi setiap sepuluh rakan di tempat kerja, sekurang-kurangnya lima orang di kalangan mereka yang mampu anda dekati dan menangi hati mereka untuk menyokong perjuangan PAS.

19.Selain di tempat kerja, di mana lagi?

Anda juga boleh memainkan peranan dalam aktiviti kebajikan, persatuan dan kerja-kerja komuniti seperti PIBG, persatuan penduduk setempat dan kerja-kerja amal. Dekati masyarakat dan tampilkan kesediaan anda untuk bersungguh mendampingi orang ramai dengan terlibat dalam aktiviti akar umbi masyarakat.

20.Apakah peranan khas kaum wanita?

Sebagai muslimat PAS atau isteri-isteri kepada ahli-ahli PAS, tugas anda untuk mendekati dan memenangi hati pengundi wanita adalah lebih mencabar. Dengan itu rebutlah peluang untuk terlibat aktif dalam program-program kemasyarakatan bersama-sama kaum wanita setempat.Kenali dan bergaul dengan seramai mungkin kaum wanita dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang sosial dengan tujuan memenangi hati mereka untuk menerima anda.

21.Apakah peranan golongan muda?

Peranan anda adalah untuk mendampingi golongan remaja, belia dan pemuda.Dekati, dampangi dan bersahabatlah sebaik-baiknya dengan mereka. Dengar luahan hati serta selami perasaan mereka. Bimbing mereka ke jalan kebajikan dan kebaikan. Sentiasa memohon agar Allah beri taufik dan pemeliharaan-Nya ke atas mereka.


22.Setelah mereka menerima anda, apa lagi yang boleh anda lakukan?


Setelah orang yang anda dekati sudah selesa dan boleh menerima anda, maka mulalah anda beritahu mereka tentang perjuangan PAS. Sampaikan isu-isu yang dikemukakan oleh PAS demi kepentingan rakyat.

Beritahu juga syor dan program cadangan PAS bagi memperbaiki kepincangan yang sedang berlaku dalam negara. Ceritakan juga kejayaan PAS mentadbir Negeri Kelantan sebagai sebuah kerajaan berkebajikan berteraskan Islam.

23.Dari mana anda boleh dapat sumber maklumat untuk menceritakan kepada orang ramai semua perkara itu?

Anda boleh mendapatkan maklumat ini daripada akhbar-akhbar Harakah, Siasah, Wasilah dan Suara Keadilan. Berita dan maklumat yang terdapat dalam akhbar-akhbar ini tidak mungkin anda perolehi daripada akhbar-akhbar kerajaan. Kami memberi jaminan bahawa berita dan maklumat yang terkandung dalam akhbar-akhbar alternatif ini adalah berwibawa, benar dan amat boleh dipercayai.

24.Di mana anda boleh dapat akhbar-akhbar alternatif tersebut?

Anda boleh membelinya dari tempat-tempat menjual surat khabar di tepi jalan atau di kedai. Jika tidak, anda boleh mendapatkannya daripada ahli-ahli PAS yang anda kenali sebagai pengedar atau pun melanggan terus dari penerbit.

25.Apa yang boleh anda lakukan dengan akhbar-akhbar alternatif tersebut?

Sebagai ahli PAS sebaik-baiknya anda menyokong "Kempen Satu Keluarga Satu Harakah". Dengan itu pastikan setiap keluaran, anda dapatkan naskah anda.

Setelah anda baca, eloklah anda berikan kepada saudara-mara atau rakan-rakan terdekat anda untuk membacanya.Boleh juga anda memberikan halaman-halaman yang mengandungi rencana-rencana menarik daripada Harakah kepada mereka.

Jika anda tidak keberatan eloklah juga anda membeli dua naskah setiap keluaran untuk dihadiahkan kepada saudara atau rakan anda.

Tambahlah langganan anda dengan akhbar Siasah, Wasilah dan Suara Keadilan, pasti ia akan meningkatkan kesedaran anda betapa selewengnya laporan-laporan yang dibuat oleh akhbar-akhbar kerajaan terhadap perkara-perkara sebenar yang dihadapi oleh rakyat jelata.

26.Apakah sumber maklumat selain dari berita dan maklumat di atas?

PAS mempunyai banyak saluran maklumat dan berita berdasarkan internet. Selain laman-laman web PAS di pelbagai peringkat dan juga blog-site ahli-ahli PAS, saluran berita internet PAS yang paling popular adalah Harakahdaily, TVPAS, TV Kelantan, Damai TV dan WTV8. Jika anda mempunyai capaian internet, berita dan maklumat yang terkandung dalam saluran-saluran ini amat bermanfaat kepada anda.

27.Bagaimanakah anda boleh membantu menyebarkan berita dan maklumat daripada internet?

Anda boleh membantu dengan menghantar emel artikel-artikel menarik atau mengirimkan URL saluran-saluran di atas kepada rakan-rakan terdekat anda. Dengan kemudahan telefon bimbit, anda juga boleh mengirim sms memberitahu rakan-rakan anda agar membaca artikel atau menonton program menarik daripada saluran-saluran tersebut.

Jika anda sanggup membantu, anda boleh cetak artikel-artikel menarik daripada Harakahdaily, buat beberapa salinan dan edarkan kepada saudara-mara, jiran atau rakan-rakan terdekat anda.


28.Apa yang anda boleh lakukan jika anda mahu menyumbang lebih daripada itu?


Khususnya menjelang pilihan raya ini, anda boleh menyumbang wang ringgit dengan menaja pencetakan risalah-risalah penerangan PAS. Kami mahu mengedarkan ratusan ribu jika tidak jutaan risalah bagi menjelaskan isu-isu semasa dan menerangkan penyelesaian PAS terhadap isu-isu itu.

Anda boleh juga berikan masa anda untuk menghadiri ceramah-ceramah umum anjuran PAS atau kuliah-kuliah di surau atau masjid yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah PAS. Semasa menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah itulah anda boleh menyalurkan sumbangan wang ringgit anda kepada kami.

Anda juga boleh menabung di kalangan anggota keluarga anda dan menyerahkan dana yang terkumpul itu kepada markas-markas PAS yang dekat dengan rumah anda.

29.Jika anda mampu buat lebih lagi daripada itu?

Terima kasih dan jazakallahu khairan. Semoga Allah beri ganjaran pahala di atas hasrat anda itu. Ini bermakna anda bersedia menjadi aktivis dan penggerak kerja dalam jentera pilihan raya PAS.

Untuk itu dalam tempoh terdekat ini, tumpukan masa dan tenaga anda serta berikanlah yang terbaik yang ada pada diri anda bagi memantapkan gerakerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12.

Untuk mengukuhkan lagi pengetahuan anda terhadap perjalanan gerakerja pilihanraya, hadirlah ke mesyuarat yang melibatkan jentera pilihan raya PAS di kawasan anda.

Giatkan program bertemu pengundi, tingkatkan usaha-usaha dakwah fardiyah dan adakan ceramah kelompok di rumah anda atau di rumah jiran-jiran anda. Bantu jentera untuk mengedarkan risalah-risalah penerangan di pasar-pasar malam, kedai-kedai, pusat-pusat membeli-belah, perhentian bas dan teksi, pejabat, kilang, estet,ladang,surau dan masjid serta di kawasan-kawasan perumahan.

Bagi mengukuhkan lagi jentera pilihanraya, sebaik-baiknya anda juga perlu hadir dalam program-program tarbiyyah terutamanya usrah. Program usrah dapat memantapkan lagi pengenalan serta persahabatan anda dengan ahli-ahli PAS yang sedang aktif menggerakkan jentera pilihanraya di kawasan anda.

Sertailah juga program-program 'qiyamullail' dan 'iftar jamaie'. 'Iftar jamaie' adalah program berbuka puasa secara bersama-sama pada hari-hari Isnin dan Khamis. Di dalam program-program seumpama ini terdapat banyak keberkatan yang mampu melonjakkan daya kekuatan perjuangan anda!

30.Kukuhkan hubungan anda dengan Allah

Mantapkan hubungan anda dengan Allah. Hindari dosa-dosa besar, bertaubat daripada dosa-dosa kecil dan sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah.Tunaikan solat fardhu secara berjemaah.Tingkatkan amal ibadah anda dengan solat-solat sunat rawatib dan nafilah.

Ringankan diri anda untuk mengerjakan solat malam. Banyakkan bermunajat, mengadu dan memohon kepada Allah melalui solat hajat. Basahkanlah lidah anda dengan zikrullah dan banyakkanlah membaca Al-Quran. Giatlah berpuasa sunat pada hari-hari Isnin dan Khamis.

Ringankanlah jiwa dan tangan anda untuk menginfaqkan wang ringgit di jalan Allah. Semua perkara ini adalah pintu-pintu dari mana akan muncul keampunan Allah serta kejayaan dan kemenangan.

Doa yang tulus ikhlas daripada hati yang benar-benar berharap pertolongan Allah adalah senjata paling ampuh yang kami harapkan daripada anda!/wann.

UPM tidak wajar hentikan kuliah agama


UPM tidak wajar hentikan kuliah agama
Dikirim pada Thursday, August 09 @ 16:28:51 SGT dengan

Pendapat dan Pandangan Oleh Abdul razak B. Abdullah
Bapa Pelajar UPM

Pada hari jumaat lepas iaitu betarikh 3 ogos 2007 saya telah mendapat rungutan daripada anak saya yang belajar di Universiti Putra Malaysia(UPM) mengatakan bahawa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEP) telah mengarahkan agar kuliah agama fiqh wanita dihentikan. Saya selaku bapa kepada seorang pelajar siswi upm amat terkilan dengan tindakan ini.

Kuliah fiqh wanita ini merupakan satu kuliah minguan yang telah lama dianjurkan oleh Pusat Islam UPM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam UPM. Kuliah ini menjadi alternatif kepada kaum siswi UPM mendapatkan kuliah ilmu agama ketika kaum siswa pergi mendengar khutbah di masjid. Namun, pada hari ini ianya dibatalkan dan hendak dimansuhkan dengan tiada alasan yang munasabah.

UPM dikenali sebagai salah sebuah Universiti yang dikelilingi bandar besar, lalu amatlah wajar kehidupan siswa siswi di kampus diseimbangkan dengan aktiviti agama seperti kuliah fiqh ini. Saya amat bimbang jika kehidupan anak saya tidak diseimbangkan dengan baik dengan ilmu-ilmu agama yang bermanfaat, mungkin mereka boleh terpengaruh dengan budaya-budaya negatif di ibu kota.

Sebagai seorang bapa saya amat khuatir dengan pemberhentian ini. Saya mendapat meklumat bahawa UPM cukup aktif menganjurkan aktiviti kebudayaan dan kurang menganjurkan aktiviti agama. Apabila berlaku pemberhentian pelaksanaan kuliah fiqh wanita ini maka saya risau dimanakah lagi untuk anak saya mendapatkan santapan rohani lagi. Bukannya dianjurkan setiap hari, hanya seminggu sekali, takkan itupun hendak dihalang.

Saya amat berharap agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT ) dan Naib Canselor UPM boleh melihat perkara ini dengan serius. Saya tidak sanggup anak saya terus hanyut tanpa pedoman agama.


Bapa Yang Mengharap,
Kota Bharu, Kelantan.

Abdul razak B. Abdullah
Jln. Long Yunus
15200 KOTA BHARU
Kelantan