Sayang la pulak kalau aku tak copy-paste artikel TGHHA ni...


Presiden PAS saran Terengganu, Sabah, Sarawak diberi 20 peratus royalti minyak
Salmiyah Harun
Tue | May 13, 08 | 4:58:41 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) menggesa kerajaan menambahkan royalti Petronas sebanyak 20 peratus kepada ketiga-tiga negeri iaitu Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Walaupun ketiga-tiga negeri terbabit mempunyai sumber asli itu, katanya ketiga-tiga negeri inilah juga mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi berbanding negeri lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Pembangkang, selepas tidak diberi peluang untuk mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab bagi soalan pertama yang dikemukan oleh Ketua Pembangkang Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan-Permatang Pauh).

"Tadi saya memang bersedia untuk memberi soalan tambahan, malangnya Speaker tidak memberi peluang, bukan saya sahaja tetapi hampir semua barisan Pakatan Rakyat," katanya.

Katanya, royalti itu juga boleh diberi mengikut pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan tahap kemajuan negeri berkenaan.

Menurut Abdul Hadi, dalam perjanjian dengan Petronas, mana-mana negeri yang perairannya memiliki petroleum akan diberi royalti sebanyak lima peratus.

"Tetapi mengapa tidak di Terengganu, kerajaan pusat telah merampas royalti pada tahun 2000, ini bercanggah dengan perjanjian yang dibuat," katanya.

Beliau kesal kerana Terengganu tidak dapat menikmati lima peratus royalti sedangkan royalti itu masih diberi kepada Sabah dan Sarawak.

"Walaupun masalah ini dibawa ke mahkamah dan sehingga ke hari ini tidak selesai, dalam masa yang sama kita hendak tahu melalui saluran mana kerajaan mengalirkan royalti itu," katanya.

Terdahulu, Wan Azizah dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan jumlah pengeluaran minyak dan gas pada tahun 2007 mengikut pecahan negeri, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta hasilnya mengikut pasaran dunia.

Wan Azizah juga meminta kerajaan menjelaskan berapakah jumlah royalti yang diperolehi negeri-negeri tersebut sejak tahun 2004 berdasarkan kadar pengeluaran dan berapa lama lagi rezab minyak dan gas dapat bertahan di kawasan-kawasan tersebut. - mns/ mr

0 comments: