BN hanya janji kosong - Kadar Minyak, Tol dan Jenayah terus meningkat sejak 2004

Oleh Herman Samsudeen

Menilai semula janji-janji Barisan Nasional dalam Pilihanraya 2004, cemerlang, gemilang dan terbilang begitulah manteranya. Setelah hampir 4 tahun berlalu, ternyata segala penipuan, manipulasi dan janji manis semakin terserlah. Dari cerita kenaikkan harga minyak hinggalah kepada kisah duka kehilangan anak-anak kecil yang tidak berdosa.

Abdullah Badawi ketika membentangkan manifesto BN 2004 mengariskan janji untuk terus prihatin terhadap keperluan rakyat dan akan merujuk kepada pandangan rakyat dalam isu-isu penting, serta mendapatkan pandangan rakyat secara aktif bagi isu-isu penting.

Berikutan dari itu, rakyat percaya dan terus memberikan mandat untuk beliau memerintah negara ini dibawah `Gelombang Biru' yang kini semakin pucat warnanya kerana terlalu banyak membiarkan rakyat kelaparan dan mati dijalanan.

Kenaikkan harga minyak

Sebaik sahaja BN kembali memerintah selepas memenangi Pilihanraya ke-11, pada 1 Mei 2004 Abdullah dengan angkuhnya, mengumumkan hadiah pertama untuk rakyat iaitu kenaikkan harga minyak sebanyak RM0.02, menjadikan harga minyak petrol bernilai RM 1.37. Belum lagi tamat tahun 2004, pada 1 Oktober 2004 harga minyak dinaikkan lagi sebanyak RM0.05 (Harga Minyak RM1.42).

Seterusnya harga minyak naik lagi kepada RM0.10 pada 05 Mei 2005 menjadikan harga minyak terus naik kepada RM1.52. Harga minyak meningkat kepada RM 1.63 setelah kenaikkan sebanyak RM0.10 pada 31 Julai 2005 iaitu dua bulan selepas kenaikkan pertama bagi 2005.

Sebaik sahaja masuk tahun 2006, rakyat menerima hadiah lagi, iaitu kenaikan tertinggi setakat ini sebanyak RM0.30 dan menjadikan harga minyak mencapai nilai tertinggi dalam sejarah pasaran negara iaitu RM1.93 pada 28 Februari 2006.

Kenaikkan – kenaikkan ini akhirnya menyebabkan harga barang-barang meningkat secara mendadak khususnya harga barangan pengguna seperti beras, gula, tepung, minyak masak, sayuran, ayam, daging dan sebagainya.

Berikutan dari itu, rakyat bangkit membantah melalui Gabungan Protes Kenaikkan Harga Barang (PROTES). Demontrasi diadakan diseluruh negara, kempen kesedaran dilakukan.

Bantahan rakyat ini dibalas dengan pukulan dan juga pembantaian oleh pasukan Polis yang diarahkan oleh BN dan dalam masa yang sama Perdana Menteri akhirnya membuka mulut dan menyatakan bahawa;

"...rakyat perlu belajar untuk hidup tanpa subsidi..."

Kata-kata beliau ini benar-benar menyakitkan hati rakyat kerana hakikat dari kenaikkan ini, PETRONAS langsung tidak mengalami kerugian malah keuntungan bersihnya setelah ditolak dengan cukai kepada kerajaan telah meningkat dari 24.62 Billion pada 2004 kepada 31.10 Billion pada 2005. Setelah ransangan kenaikkan harga sebanyak RM.0.30, pada awal 2006, Keuntungan PETRONAS akhirnya berjaya memecahkan rekod lamanya dengan keuntungan bersih bernilai RM39.92 Billion.

Tidak salah untuk PETRONAS memiliki untung yang besar dan membayar cukai yang banyak. Walaubagaimana pun dalam keadaan PETRONAS itu milik negara sewajarnya ia dipergunakan bagi membantu rakyat. Tidak sepatutnya harga minyak dinaikkan dalam keadaan PETRONAS dan Kerajaan tidak rugi.

Kesan pengurangan subsidi benar-benar tidak memberikan manfaat kepada rakyat dan peniaga dinegara ini.

Nilai pasaran barangan meningkat dan golongan kapitalis bersaing untuk terus survive. Mereka tiada pilihan kerana minyak kini menjadi teras kepada kebanyakan aktiviti ekonomi negara samada disektor perikanan, pertanian, pembinaan, industri, malah pengangkutan.

Kesan kenaikkan harga yang tidak sepatutnya ini menyebabkan rakyat sebagai pengguna akhir tersepit kerana tiada pilihan walaupun kadar pendapatan mereka masih lagi sama sejak 10 tahun yang lalu dan ianya berbeza dengan kakitangan awam yang telah merasai kenaikkan gaji pada tahun lalu.

Jadi, wajarkah rakyat terus menerus memilih BN yang kini masih lagi bercita-cita untuk menaikkan harga minyak selepas pilihanraya ini. Kenapa perlu beri mereka lima tahun lagi. Adakah empat tahun yang berlalu tidak memberikan kesedaran untuk anda merubah pendirian.

Inilah masanya untuk perubahan, dan Barisan Alternatif bersedia untuk menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen sekiranya rakyat memberikan mandat dalam pilihanraya akan datang.

Kenaikkan Tol

Seandainya kisah minyak belum cukup tragis untuk kita menilai penipuan BN, sekarang kita lihat pula wayang kedua mereka iaitu warta kenaikkan kadar Tol dibeberapa tempat utama diseluruh negara.

Kegemaparan ini bermula pada 1 Januari 2007 dimana kadar bayaran ditujuh tol telah dinaikkan sekitar 20-60 peratus. Paling tinggi adalah kenaikan di tol Damasara-Puchong (LDP) iaitu sebanyak 60 peratus menjadikan harga tol baru adalah RM1.60. Seterusnya tol Cheras-Kajang Batu 11, 50 peratus (RM0.90), KESAS, 47 peratus (RM2.20), Cheras-Kajang Batu 9, 43 Peratus (1.00), Guthrie 40 peratus (RM1.40), KL-Karak:Gombak, 25 peratus (RM5.00) dan KL-Karak:Bentong, 20 peratus (RM3.00).

Keluruhannya, kos pembinaan asal bagi semua tol diatas adalah bernilai RM4.13 Billion tetapi kerajaan telah memberikan pampasan / subsidi RM 4.86 Billion.
Sehingga ke hari ini jumlah keuntungan bersih bagi kutipan tol ditempat-tempat yang dinyatakan adalah sebanyak RM730 juta tidak termasuk jumlah pampasan yang telah diagihkan oleh Kerajaan.

Nampaknya dalam kes ini negara kini telah menjadi lubuk duit bagi syarikat konsensi Tol yang kebanyakkannya dikuasai oleh kroni beberapa menteri dan tokoh politik BN.

Sebelum ini Pengerusi PAC, Shahir Abd Samad telah mengesa Kerajaan membeli saham PLUS untuk mengelakkan kenaikkan kadar tol dengan sewenang-wenangnya, walaubagaimanapun cadangan tersebut tidak didengar dan Kerajaan terus memberikan muka kepada pengendali Tol.

Kenaikkan pada 2007 adalah suatu permulaan dan ianya bersambung lagi pada 1 Januari 2008. Kenaikkan kadar bayaran antara tujuh peratus dan 50 peratus telah diumumkan bagi enam buah tol lagi dan ianya benar-benar mengejutkan rakyat yang leka dengan percikkan bunga api pada malam tahun baru 2008.

Kadar baru bagi Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) melibatkan Plaza Tol Mambau ialah RM3.20 (naik 30 sen) manakala bagi Plaza Tol Lukut ialah 80 sen (naik 10 sen); Lebuhraya Elite RM14.96 sen (naik RM1.36 sen); Lebuhraya BKE RM1.60 (naik 30 sen), Lebuhraya LinkKedua bagi Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor RM1.60 sen (naik 30 sen) manakala Plaza Tol Lima Kedai pula RM3.90 (naik 80 sen) dan Plaza Tol Perling RM2.30 (naik 50 sen).

Lebuhraya NNKSB melibatkan Plaza Tol Bukit Raja ialah 60 sen (naik 20 sen) manakala Plaza Tol Kapar-Bukit Raja RM1.40 (naik 40 sen); Plaza Tol Bukit Kayu Hitam RM3.60 (naik 30 sen) dan Plaza Tol Tambak Johor RM2.90 (naik 30 sen).

Sebenarnya, Kenaikkan-kenaikkan ini merupakan strategi terancang BN sebelum pilihanraya lagi. Setiap kali pilihanraya mereka akan tabur janji dan juga duit-duit projek bagi mengambil hati rakyat. Tetapi selepas menang duit-duit berkenaan akan dikutip semula melalui kutipan tol dan pengurangan subsidi minyak.

Rekod sejak 2004 hanya menunjukkan kenaikkan bukannya penurunan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat.

Keadaan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Alternatif dibawah PAS ketika memenangi Pilihanraya ke-10 pada 1999 lalu. Sebaik sahaja memerintah Kerajaan BA mengumumkan penutupan Tol di Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Kerajaan BN selalu menafikan kemampuan Kerajaan BA memerintah dan menguruskan Kerajaan tetapi setelah penutupan Tol berkenaan Kerajaan BA di Terengganu masih boleh memerintah dengan baik.

Tidak cukup dengan itu, cukai pintu juga dihapuskan oleh Kerajaan BA ketika memerintah dan rakyat yang berpendapatan rendah diberikan tanah-tanah dibawah projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi tujuan pembangunan ekonomi.

Walaubagaimana pun setelah BN memerintah kembali, tanah RTB ini dirampas semula dan cukai pintu diperkenalkan kembali.

Begitulah cara BN menunaikan manifesto `Tradisi Membela Rakyat' dan `cemerlang, gemilang dan terbilang' yang saban waktu dilaungkan pada rakyat. Saban waktu itulah rakyat juga terus menderita.

Setiap kali rakyat terfikir untuk menukar Kerajaan, BN akan mengugut rakyat dengan mengatakan bahawa negara akan huru-hara di bawah pentadbiran BA.

Janji BA untuk mengurangkan harga minyak sebanyak 30 sen sebaik sahaja memenangi Pilihanraya akan datang sudah cukup mengusarkan mereka. Rakyat harus berani berubah dan memberikan peluang kepada BA. Inilah masanya untuk membuat perubahan.

Jenayah Meningkat

Seterusnya, dalam Gagasan Kesembilan Manifesto BN 2004, Abdullah juga ada berjanji untuk menguatkuasakan undang-undang secara tegas lagi telus terutama dalam menangani jenayah. Namun janji ini hanyalah satu manifestasi kecurangan BN.

Graf kadar jenayah berada dalam paras yang agak kritikal sejak 2004. Statistik yang diambil dari laman web Polis Di Raja Malaysia mengesahkan bahawa pada 2004 jumlah kadar jenayah adalah sebanyak 156,455 dengan jumlah kes selesai sebanyak 72,694. Jumlah kes yang direkodkan pada 2005 meninkat sedikit kepada 157,459 kes dengan jumlah kes selesai sebanyak 76,284 kes.

Graf jenayah yang dilaporkan meningkat meningkat dengan mendadak kepada 198,622 kes pada 2006 dengan jumlah kes selesai jatuh kepada 73,281 kes sahaja. Masyarakat Malaysia terus bimbang lagi dengan kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin, 8 yang menjadi sebahagian dari rekod jenayah yang belum selesai pada 2007. Tahun 2007, menyaksikan kegagalan terbesar BN dalam memastikan negara ini benar-benar selamat dengan peningkatan sebanyak 224,298 kes baru dilaporkan. Peningkatan ini begitu merisaukan kerana kadar kecekapan pihak Polis semakin semakin sukar dipercayai lagi di mana hanya 82,270 kes sahaja yang berjaya diselesaikan hingga hujung tahun lalu.

Jenayah rogol semakin membimbangkan kerana rekod PDRM menunjukan penibgkatan yang besar akhir-akhir ini. Pada 2004 hanya 1,718 kes dilaporkan dan meningkat kepada 1,887 pada 2005. Jumlah ini terus meningkat kepada 2,435 kes pada 2006 dan seterusnya bertambah dengan banyaknya pada 2007 iaitu sebanyak 3,177 kes. Ini menjadikan purata wanita dan kanak-kanak yang dirogol setiap hari dinegara Islam Hadhari ini meningkat kepada 9 orang sehari berbanding purata 7 orang sehari pada 2006.

Jadi adakah BN benar-benar menjadikan negara ini selamat pada pandangan rakyat. Tertunaikah janji mereka dalam siri manifesto 2004. Adakah berbaloi untuk anda terus memberikan mandat kepada BN bagi membiarkan diri anda dan anak anda berada dalam keadaan ketakutan sepanjang masa.

Bekas Ketua Polis Negara, Hanif Oma, Bakri Omar dan Norian Mai turut menjadi mangsa pecah rumah pada tahun lalu. Selain itu, pada 18 Februari 2007, bekas Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Albert Mah ditemui mati dibunuh di rumahnya di Petaling Jaya setelah rumahnya dipecah masuk dan hingga kini pembunuhnya masih belum ditahan.

Pada Ogos tahun lalu, Hanif Omar menulis dalam ruangannya di Sunday Star "Point of View" yang bertajuk "Crime and quality of life", dan mendedahkan bahawa ""Saya dan keluarga saya tidak lagi berasa selamat berjalan-jalan di Kuala Lumpur ini"

Jikalau pegawai-pegawai atasan PDRM seperti bekas Ketua Polis Negara juga boleh dirompak, begitu juga dengan Ketua Polis Negeri juga boleh dibunuh di rumahnya yang dipecah masuk, siapakah lagi yang dapat berasa selamat di Malaysia?

Sejauh manakah BN sanggup untuk memberikan jaminan dalam keadaan kualiti perkhidmatan PDRM dibawah naungan Abdullah semakin menurun. Campurtangan BN dalam PDRM semakin ketara, dan Hanif Omar turut mendedahkan kepada khalayak bahawa 40 peratus anggota pasukan polis hari ini boleh ditangkap dan didakwa terus kerana pelbagai kesalahan-kesalahan rasuah dan jenayah.

Rakyat semakin sangsi dengan keupayaan BN menguruskan sistem keselamatan kerana pasukan keselamatan negara masakini turut terlibat dalam jenayah. Kerajaan baru diperlukan untuk memperbaiki PDRM dan juga memulihkan negara dari ancaman jenayah dan BA adalah alternatif terbaik kerana BA menjaminkan barisan calon yang 100 peratus bebas dari gejala rasuah dan jenayah.

Negara ini akan musnah sekiranya terus menerus diperintah oleh pemimpin yang rasuah dan juga tidak mengutamakan kebajikan serta keselamatan rakyat. Setiap menteri mempunyai pegawal peribadi yang dibayar dengan duit rakyat, tapi siapakah pengawal peribadi untuk rakyat!

Abdullah dalam kempennya pada 2004 selalu mengungkapkan bahawa beliau hanyalah hamba rakyat dan bekerja bersama rakyat. Namun jika kita melihat tempat makan beliau, istana beliau dan juga gaya hidup beliau memang jauh lebih mewah dari rakyat. Setelah Mahathir meletak jawatan kini cita-cita untuk menjadi Maharaja dinegara ini disambung oleh beliau dan rakyat kini dibiarkan hidup dalam ketakutan agar mudah mereka menaikkan harga minyak, tol dan pelbagai lagi barangan serta cukai yang pastinya akan memeras rakyat hingga ke tahap yang maksimum.

Ingatlah, ini masa untuk perubahan. Satu undi anda untuk BN bermakna anda menyokong kenaikkan minyak dan tol. Satu undi anda untuk BN bermakna anda bersedia melihat tambahan satu lagi rekod jenayah dibawah Kerajaan BN. Dan satu lagi undi anda bermakna anda sanggup membiarkan BN terus menerus membiarkan penjenayah berpesta, dan rasuah berleluasa.

0 comments: