Suhakam ambil tindakan terhadap kes UPM cabul hak asasi pelajar

Suhakam ambil tindakan terhadap kes UPM cabul hak asasi pelajar
Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin
Wed | Nov 21, 07 | 2:07:11 pm MYT



KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Universiti bukan institusi yang terlepas daripada perlaksanaan sebarang undang-undang negara kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan di pejabat Suhakam dengan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang melaporkan mengenai kes salah guna kuasa oleh Pegawai Keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Menara Tun Razak hari ini.

"Kita harus ingat bahawa universiti bukanlah tempat yang bebas daripada undang-undang," kata Khoo sebagai maklum balas kepada laporan yang dibentangkan oleh wakil SMM.

Menurutnya, dakwaan yang dikemukakan bersabit salah laku pihak keselamatan universiti tersebut melibatkan pelaksanaan undang-undang di UPM yang beliau sendiri tidak mempunyai maklumat yang secukupnya mengenai kegiatan mahasiswa di kampus tersebut.

"Sekiranya terdapat undang-undang yang digunapakai UPM yang bertentangan dengan perlembagaan negara, maka ia adalah suatu perkara yang serius dan dikira tidak sah,"

Khoo memberi jaminan bahawa Suhakam akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan SMM berhubung beberapa laporan yang diterima khususnya berkaitan kes mahasiswa tahun kedua kursus Bachelor Sains Komputer, Lee Song Yong yang akan mengikuti prosiding esok.

"Beliau yang telah didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kerana enggan memberikan kerjasama dalam pemeriksaan keselamatan UPM dan mempertikaikan tugas Pengawal Keselamatan serta menghalangnya daripada menjalankan tugas, kewajipan dan fungsinya," ujar wakil SMM.

Pada 22 Ogos 2007 lalu, Lee ditahan oleh pengawal keselamatan UPM yang berpakaian seragam di pondok pengawal Anjung Putra dalam perjalanan untuk keluar daripada pintu masuk utama kampus berkenaan.

Pengawal tersebut meminta untuk memeriksa beg Lee. Namun apabila Lee memohon penjelasan daripada pengawal tersebut, beliau gagal mengemukakan alasan yang jelas.

"Kemudian, tiga lelaki yang tidak berpakaian seragam keselamatan tiba di tempat kejadian meminta Lee menunjukkan kad matrik beliau, sebaik dikemukakan mereka bertindak merampasnya serta merta,"

ImageBeg milik beliau juga dirampas oleh beliau dengan menarik secara kasar, manakala seorang daripada tiga lelaki tersebut menyekat pergerakan Lee.

Apabila beliau meminta kembali beg tersebut, beliau telah dimaki dengan kata-kata kesat. Pada akhir sesi pemeriksaan tersebut, lelaki tersebut hanya mengambil buku catatan dan kad matrik Lee kemudian beredar.

"Lee juga telah membuat satu laporan di balai polis Sri Serdang mengenai kejadian tersebut. Pihak polis juga mengesahkan bahawa tiga lelaki terbabit adalah pegawai Unit Tindakan Khas, di samping mengarahkan Lee mendapatkan semula barang rampasan daripada Bahagian Keselamatan UPM.

Pada 14 November, Lee menerima notis kehadiran prosiding bertarikh 19 November yang dilampirkan salinan terjemahan dari buku catatan peribadi beliau.

Beliau yang diiringi oleh peguamnya, Sunil Lopez serta wakil sekretariat Suara Rakyat Malaysia, Arutchelvan mengemukakan permohonan penangguhan prosiding kepada ketua pihak penguatkuasa tatatertib Prof Dr Tai Shzee Yew.

Permohonan tersebut ditolak, begitu juga peguam tidak dibenarkan hadir bersamanya sewaktu prosiding dijalankan.

Pada 19 November, terpaksa hadir prosiding tersebut seorang diri tanpa sebarang bantuan daripada sebarang pihak. Prosiding tersebut telah ditangguhkan pada 22 November jam 9.30 pagi.

Setelah mendengar laporan tersebut, Khoo menyampaikan komen peribadinya bahawa tindakan yang dilakukan oleh pegawai keselamatan tersebut adalah dibuat dengan sambil lewa.

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kes ini mempunyai perkaitan dengan pilihan raya kampus memandangkan jarak masa yang mendekati tempoh tersebut.

Khoo turut dimaklumkan Lee kini masih lagi bergelar mahasiswa walaupun menghadapi tuduhan di bawah Auku.

Dalam memorandum yang dikemukakan kepada Suhakam hari ini, SMM berharap agar siasatan terbuka dibuat ke atas pegawai-pegawai keselamatan yang terbabit.

Mereka juga menggesa Suhakam meminta pihak pentadbir UPM untuk memberikan penjelasan terhadap mangsa-mangsa.

SMM juga mendesak pihak pentadbir UPM untuk membatalkan tuduhan terhadap Lee dengan serta merta.

Khoo juga memberi jaminan bahawa mereka akan cuba untuk membuat pemantauan dalam prosiding kes tersebut, supaya ia benar-benar mengikut prosedur.

"Setakat ini, Suhakam telah mendapat kerjasama daripada UKM dan UIA dalam memantau masalah berkaitan hal yang sama. Jika didapati bersalah, pihak universiti boleh disabitkan kesalahan melanggar undang-undang dalam menjalankan tugas," tegas Khoo pada akhir pertemuan tersebut.

Kes Lee Song Yong adalah merupakan salah satu daripada beberapa kes yang berlaku akhir-akhir ini, selain rampasan komputer riba milik Yee Yang Yang pada 14 September lalu. - mr

0 comments: