Pakai pakaian kuning setiap Sabtu



Pakai pakaian kuning setiap Sabtu

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Bersih mengisytiharkan warna kuning sebagai warna rasmi yang perlu dipakai pada setiap hari Sabtu mulai sekarang sebagai melahirkan sokongan untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil di negara ini.

Tindakan ini dibuat bagi menandakan protes rakyat terhadap sistem demokrasi, semangat cintakan negara dan tuntutan Bersih untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil.

Pengisytiharan ini dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Bersih (Gabungan menuntut pilihan raya bersih dan adil), Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ekoran daripada perhimpunan rakyat pada 10 November lalu.

Turut bersama beliau adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, Ketua Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub, wakil Women Development Collective (WDC) Maria Chin Abdullah dan wakil Youth For Change (Y4C) Lee Khai Loon dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Warna kuning telah digunakan dalam perhimpunan yang disertai oleh lebih 40,000 orang di perkaranga Istana Negara Sabtu lepas bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung.

Kedatangan begitu ramai penyokong telah membentuk lautan manusia di perkarangan Istana Negara yang warna rasminya adalah kuning.

Blogger yang juga aktivis politik Ruhanie Ahmad dalam blognya juga turut mencadangkan supaya 'Gelombang Kuning' dengan pakaian kuning setiap Sabtu.

"Gelombang kuning perlu terus digelorakan di seluruh pelusuk tanahair tercinta. Bukan dengan perarakan ke Istana Negara di Kuala Lumpur sahaja," katanya dalam blognya Kuda Kepang.

"Tapi, hanya dengan memakai pakaian - baju, baju-t, tudung, necktie, selendang, kot, jubah, serban, seluar, skirt atau topi berwarna kuning pada setiap hari Sabtu," katanya

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat turut mencadangkan agar Hari Sabtu dijadikan Hari Kuning dengan cara memakai pakaian yang berasaskan warna itu.

1 comments:

Berita dari gunung said...

interesting blog.