Sisi yang neutral dan waras



hanya di http://pmi-upm.blogspot.com/
dan http://groups.yahoo.com/group/pmi-upm/

Pengajian angkasa jadi disiplin ilmu

Oleh: ZULKEFLEE YAACOB

SYABAS dan tahniah daripada semua lapisan rakyat Malaysia. Kita semua berasa bangga kerana Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 36, selamat kembali ke bumi petang kelmarin selepas berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 11 hari dan menjadi angkasawan pertama negara.

Beliau berlepas ke angkasa raya bersama angkasawan Amerika, Peggy Whitson dan angkasawan Russia, Yuri Mallenchenko. Kemudian pulang ke bumi bersama angkasawan Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov juga dari Russia menggunakan kapsul Soyuz TMA-10 atau dikenali dalam Program ISS sebagai Soyuz-14S yang digunakan oleh mereka ketika misi ke-15 ke stesen ISS sejak April lalu.

Mereka mendarat dalam lingkungan 10km dari Arkylk, Kazakhstan pada jam 2.37 petang (6.37 petang waktu Malaysia) iaitu tiga jam 23 minit selepas berlepas dari ISS berbanding masa dua hari untuk tiba di ISS ketika dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 10 Oktober lalu dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11 yang dipacu roket Soyuz FG kerana perjalanan turun lebih cepat disebabkan tarikan graviti bumi apabila memasuki atmosfera.

Ketibaan angkasawan Dr Sheikh Muszaphar disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis di lapangan terbang tentera berhampiran Star City Moscow.

Kejayaan gemilang membawa pulang kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi di angkasa lepas terhadap sel dan mikrob, iaitu sel HUVEC (Human Umbilical Vein Endothilian Cell) dan Osteoblast (untuk kajian oestoporosis) serta uji kaji penghabluran protein untuk kegunaan industri dan farmasi memang wajar dipuji.

Di samping persembahan simbolik untuk tatapan rakyat negara ini seperti putaran gasing iaitu permainan tradisional rakyat Kelantan turut dipertontonkan, putaran yoyo, catuan strawberry, campuran minyak dan air dan kelajuan bola pelbagai saiz menjadi realiti bukan impian semata-mata.

Pentauliahan Dr Sheikh Muszaphar sebagai Cosmonaut bersama-sama Dr Faiz Khaleed akan diadakan di Russia sebelum kembali ke tanah air. Kepulangan yang dinanti dan diraikan seluruh rakyat yang bangga di atas kejayaan beliau.

Kejayaannya memberi impak besar kepada rakyat dan negara sebaris dengan angkasawan luar dan kerjasama dengan pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat dapat dipupuk.

Malah, Dr Sheikh Muszaphar membuktikan kejayaan individu menguasai mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa ibunda yakni bahasa Melayu menjadi pembentuk disiplin ilmu dan alat pemikiran untuk menghasilkan sejarah terhadap diri dan tamadun bangsanya. Beliau sekali gus menanam kesedaran bahawa bahasa ibunda dan memanipulasikan bahasa sebagai alat pemikiran, alat ilmu dan kemajuan bangsa.

Sehubungan itu, program angkasa mampu membuka minda pihak berkenaan bahawa bidang angkasa perlu menjadi disiplin ilmu baik di universiti mahupun institusi pendidikan menengah dan rendah.

Langkah mewujudkan Hari Angkasawan Negara perlu difikirkan dengan serius agar program angkasa lepas ada kesinambungan serta memupuk generasi muda baik di bandar atau di desa meminati pelajaran sains dan matematik dalam bahasa difahami.

Justeru, Dr Sheikh Muszaphar telah melalui jalan ke angkasa yang menjadi seorang umat berbangsa Melayu Islam terpilih. Beliau disyorkan supaya menziarahi Makkah untuk menunaikan haji atau umrah sebagai tanda kesyukuran dan membuktikan kebesaran Ilahi. Sesungguhnya kemajuan bangsa kerana insan yang maju akal dan fikirannya.

ZULKEFLEE YAACOB,
Kota Bharu, Kelantan.

0 comments: