Propaganda musuh tak jejas kegiatan dakwah



hanya di http://pmi-upm.blogspot.com/
dan http://groups.yahoo.com/group/pmi-upm/

Propaganda musuh tak jejas kegiatan dakwah
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


SALAH satu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan Syawal dan seterusnya tercatat dalam lipatan sejarah Islam ialah peristiwa al-Ahzab. Dalam suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri, umat Islam perlu menginsafi dan mengambil iktibar daripada peristiwa al-Ahzab seperti yang diungkapkan dalam takbir raya wahazamal ahzaba wahdah yang bermaksud Allah sudah mengalahkan dan membinasakan bala tentera Ahzab dalam keadaan keesaan-Nya.

Dalam peristiwa al-Ahzab, umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dikepung oleh dua golongan yang sangat memusuhi Rasulullah SAW dan Islam iaitu golongan al-Maghdubi alaihim dan juga al-Dhalin.

Golongan al-Maghdubi alaihim adalah golongan dimurkai Allah yang terdiri daripada ahli kitab yang arif berkenaan kitab, Islam dan Nabi Muhammad SAW. Pemimpin ahli kitab menemui pemimpin golongan al-Dhalin iaitu golongan yang sesat di kalangan Musyrikin di Makkah.

Pemimpin ahli kitab sudah memberi semangat kepada pemimpin musyrikin supaya menubuhkan bala tentera al-Ahzab dan mengajak kabilah Musyrikin yang lain dengan bantuan golongan ahli kitab. Lalu mereka menamakan pakatan bala tentera mereka yang besar dengan al-Ahzab.

Berserta kelengkapan senjata yang secukupnya, tentera al-Ahzab ingin menyerang Madinah bagi menghapuskan Islam, Rasulullah SAW dan umat Islam.

Apabila tentera al-Ahzab yang mempunyai bilangan mengatasi jumlah umat Islam pada zaman itu, maka Allah menurunkan ayat dalam surah yang dinamakan al-Ahzab sebagai mengambil sempena peristiwa berkenaan.
Peristiwa al-Ahzab itu hampir menggoncang iman yang bertapak dalam jiwa umat Islam dengan ujian begitu hebat daripada Allah. Walaupun bilangan tentera yang sedikit, umat Islam tetap mara ke hadapan, berdiri tegak dengan teguh dan berani serta tidak berganjak walau sedikit pun.

Mereka menentang tentera al-Ahzab dengan berbekalkan keimanan jitu ke hadrat Allah. Berkat keimanan dan kesabaran umat Islam, akhirnya Allah mengurniakan pertolongan-Nya dan menganugerahkan kemenangan cukup bermakna dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Semua propaganda dan perancangan musuh Islam itu ternyata tidak mampu membendung perkembangan Islam yang semakin pesat. Biar pun begitu, banyaknya rentetan propaganda keji yang mereka canangkan itu sebenarnya sebahagian asam garam perjuangan dakwah Islam yang memberikan kelebihan kepada Islam untuk terus berkembang ke seluruh dunia.
Semakin ramai orang bukan Islam berminat dan terus menerima Islam sebagai cara hidup mereka. Sinaran cahaya Islam yang tinggi itu selama-lamanya tak akan dapat mereka padamkan.

Allah sendiri menegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)." – (Surah al-Saff, ayat 8)

Sejarah Islam menyaksikan bahawa kalimah Allah itu selama-lamanya tetap tinggi dan kalimah kufur jahiliah pula akan tersungkur jatuh dan rendah terhina. Itulah jaminan Allah yang menyaksikan Islam sebagai ajaran bersifat rahmah kepada sekalian alam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." – (Surah al-Taubah, ayat 40)

Meninjau senario umat Islam kini, ternyata ada musuh Islam yang kurang senang dengan kebangkitan Islam yang bergema ke seluruh ceruk rantau. Justeru, ada segelintir pemimpin dunia melakukan propaganda jahat sebagaimana pernah dilakukan kafir Quraisy.

Maka mereka pun mencanangkan propaganda jahat mereka untuk memadamkan cahaya Islam dengan berbagai isu sejagat seperti isu keganasan, ekstremisme, fundamentalisme dan sebagainya.

Perlu diingat bahawa musuh Islam pada era globalisasi turut menghimpunkan pelbagai golongan dengan jumlah yang lebih besar berbanding bala tentera al-Ahzab pada zaman Rasulullah SAW.

Kini terdapat pelbagai ajaran sesat dikesan pihak berkuasa agama semakin berleluasa, begitu juga gerakan yang mengancam kesucian akidah umat Islam dan lain-lain ancaman yang menggugat kepercayaan umat Islam mutakhir ini.

Begitu juga serangan serangan pemikiran dan kebudayaan yang menyerang secara halus ke dalam setiap sendi kehidupan umat Islam. Natijahnya, berlakulah krisis sosial dan masalah akhlak di kalangan muda mudi yang begitu meruncing.

Tidak cukup dengan itu, peristiwa demi peristiwa menyedihkan dan menyayat hati silih berganti menghiasi dada akhbar arus perdana seperti kes penderhakaan anak terhadap ibu bapa, kes pembunuhan kanak-kanak yang tidak berdosa, kes pembuangan bayi, kes penderaan terhadap kanak-kanak dan kes kehilangan anak.

Oleh itu, setiap Muslim daripada segenap lapisan masyarakat perlu menyedari dan menginsafi peranan serta tanggungjawab masing-masing. Paling penting, setiap Muslim wajib memperlengkapkan diri dengan benteng akidah Islam, istiqamah amalan salih dan keluhuran akhlak Islam untuk mendepani cabaran hebat yang datang dari pelbagai arah.

Tidak ada pun satu masalah dan musibah yang melanda dalam kehidupan Muslim melainkan Islam ada menyediakan penawar dan jalan penyelesaian yang terbaik. Setiap Muslim wajib berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi sumber utama panduan hidup dunia akhirat.

Umat Islam dewasa ini perlu menyedari situasi yang menimpa mereka dan seterusnya meyakini bahawa jaminan pertolongan Allah akan tetap datang untuk menyempurnakan agama-Nya jika umat Islam terus menerus berjihad menyambung perjuangan para nabi dan rasul menegakkan Islam.

Usaha itu perlu dilakukan dengan penuh kesabaran dan keikhlasan walau sekeji dan sejahat mana propaganda yang dilancarkan musuh Islam. Cahaya Islam tetap bersinar di bumi Allah ini bersama keadilan dan keamanan sejagat.

Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia .

0 comments: