Personaliti: Shukri terharu AQ diminati ramai


Personaliti: Shukri terharu AQ diminati ramai
Oleh Hasliza Hassan

ILMU qiraat, manhaj bacaan, fasahah dan banyak lagi istilah ilmu pembacaan al-Quran bukan saja asing, malah ada antaranya tidak pernah didengar sebelum ini oleh penerbit program realiti Akademi al-Quran (AQ) terbitan TV9, Shukri Ibrahim.


Tetapi kini, apabila mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan dengan cara bacaan berbeza-beza, beliau sudah boleh membezakan jenis bacaan itu.

Malah, ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan ilmu qiraat, anak muda berusia 32 tahun itu dengan lancar menjawab, qiraat al-Quran adalah bacaan al-Quran yang diturunkan Allah melalui Jibrail kepada Rasulullah SAW yang semuanya ada tujuh bacaan mutawatir yang bersambungan daripada tujuh imam kepada Rasulullah SAW.

“Ilmu ini saya peroleh sepanjang menerbitkan program AQ musim pertama tahun lalu. Saya bersyukur kerana dapat menimba banyak ilmu berkaitan al-Quran yang sebelum ini memang saya tidak pernah dengar.

“Ilmu asas membaca al-Quran dan hukum tajwid tahulah sikit-sikit sebab di Johor memang diwajibkan pergi ke sekolah agama. Bagaimanapun, ilmunya tidak mendalam seperti yang saya pelajari daripada AQ,” katanya.

Pendedahan ilmu pembacaan al-Quran turut diperoleh secara tidak langsung daripada ibunya, Khadijah Ishak, yang mengajar al-Quran kepada anak kampung Tengah Kluang, Johor. Malah, ketika berada di Tingkatan Satu, beliau juga diberi amanah membantu ibunya menyemak bacaan kanak-kanak berumur tujuh dan lapan tahun.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak pernah terbayang satu hari nanti bakal menerbitkan program realiti mengenai pembelajaran al-Quran yang mampu menarik minat penonton dan meninggalkan impak besar dalam bidang pengajian ilmu al-Quran.

Bercerita mengenai pemilihannya sebagai penerbit AQ, Shukri berkata, tawaran itu datang sebaik saja beliau terpilih menyertai TV9 pada Disember 2005 dan kebetulan pengurusan dalam perancangan menerbit program realiti berunsur agama.

Perancangan dalam bentuk kertas cadangan itu diberikan kepadanya oleh Pengurus Kandungan Pendidikan, Wan Alias Abdullah, yang mahukan beliau menerbitkan sebuah program realiti belajar al-Quran untuk peserta berusia antara 15 hingga 25 tahun.

Alasan Wan Alias memberikan tanggungjawab itu kepada beliau kerana pengalamannya sebelum ini menerbitkan program realiti berbentuk hiburan termasuk program pencarian bakat baru pelbagai kaum bertugas di TV3 dan ntv7.

“Saya memang banyak terbabit menerbitkan program realiti berbentuk hiburan. Ustaz Wan kata, sebab saya sudah ada acuan, jadi lebih mudah untuk merancang satu program realiti tetapi berkaitan dengan belajar al-Quran.

“Memang pada mulanya semua itu di atas kertas. Jadi tidak nampak bagaimana peserta hendak mengaji. Berbekalkan pengalaman yang ada, perlahan-lahan saya cuba hasilkan projek perintis dengan bantuan pengajar dan pengurusan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya tunjuk kepada pengurusan, mulanya mereka tidak berpuas hati hingga saya terpaksa buat perubahan sebanyak lima kali. Selepas beberapa perubahan, akhirnya baru mereka berpuas hati dan hasilnya, AQ yang kita tonton musim lalu,” katanya.

Katanya, dari segi konsep AQ sama program realiti lain cuma, pengisiannya berbeza kerana ia membabitkan ilmu pembacaan al-Quran yang dilihat agak sensitif bagi sesetengah pihak dan pastinya mendapat perhatian banyak pihak.

Justeru, bagi memastikan AQ tidak lari daripada syariat program hiburan dalam Islam, beliau mendapatkan nasihat serta pandangan banyak pihak termasuk Jakim, Darul Quran Jakim dan mufti setiap negeri.

Pengalaman menerbitkan program hiburan juga cuba diadaptasikan ketika menghasilkan AQ dari segi melahirkan idea baru dan teknik menggunakan kamera supaya walaupun ia program berunsur agama tetapi tetap nampak menarik.

Sebelum terjun dalam bidang penerbitan, Shukri yang memiliki diploma jurusan kemahiran komputer pernah berkhidmat dengan syarikat pengurusan acara, pembantu pengurusan di bank selama enam bulan dan kemudian mengikut jejak langkah rakan memohon menyertai TV3 pada 1996.

Beliau kemudian bertukar angin dengan menyertai ntv7 hingga 2004.

Sekadar mencuba nasib, tidak disangka, penerimaan beliau sebagai salah seorang anggota keluarga TV9 membuka lembaran baru dalam hidupnya kerana diberi kepercayaan menerbitkan program realiti berunsur agama pertama di Malaysia.

Tanggungjawab itu diteruskan bagi menghasilkan AQ musim kedua yang sudah menemui penonton sejak 26 April lalu. Program AQ bermula dengan pencarian peserta di seluruh negara yang memperlihatkan peserta disenarai pendek sehingga peringkat penyingkiran untuk mencari juara.

Mengenai cabaran menerbitkan AQ musim kedua, Shukri tidak dapat menafikan keresahan hatinya untuk melahirkan seorang lagi qari seperti Abdullah Fahmi yang dipilih sebagai juara AQ musim pertama.

“Cabaran daripada segi penerbitan sebenarnya tidak banyak tetapi untuk mengenal juara daripada 16 peserta yang berjaya menyertai AQ kali ini, saya akui memang susah. Inilah uniknya AQ kerana kita tidak boleh teka siapa bakal juara.

“Mungkin suara sedap tetapi dari segi hukum tajwid banyak salah. Sebagai penerbit saya perlu pastikan juara adalah orang yang benar-benar layak. Lagipun, matlamat AQ bukan untuk mencari peserta yang pandai membaca al-Quran saja.

“Juara perlu seiring dengan slogan AQ untuk melahirkan generasi al-Quran. Abdullah Fahmi kita nampak melalui perwatakan suka tersenyum, sanggup mengalah demi keluarga dan mampu menjadi contoh kepada umum. Inilah debaran yang saya rasa dari minggu ke minggu,” katanya.

Katanya, di sebalik amanah serta tanggungjawab memastikan kejayaan AQ, beliau tetap berbangga dan berasa puas kerana AQ berjaya memberi impak besar dalam menimbulkan minat di kalangan masyarakat untuk belajar ilmu pembacaan al-Quran secara berlagu.

Ia terbukti apabila kebanyakan peserta yang hadir sesi uji bakat AQ musim kedua menunjukkan peningkatan dalam kemahiran membaca al-Quran secara berlagu. Malah, ada yang mengambil inisiatif mencari guru untuk memantapkan bacaan mereka.

Selain itu, katanya, beliau sentiasa mencari pembaharuan dalam mempertingkatkan kualiti program agama dengan memberi unsur baru supaya program yang ada kaitan dengan syiar Islam tidak ketinggalan.

Katanya, tidak dinafikan agak sukar untuk mendekatkan penonton kepada program yang ada nilai agama tetapi cabaran itu menguatkan semangatnya menghasilkan yang terbaik seperti dipersembahkan dalam Anugerah Media Islam Negara (Amin), baru-baru ini.

“Anugerah Amin saya lihat sebagai cabaran kerana tidak pernah terbitkan majlis anugerah seperti itu. Saya bersyukur ia mendapat maklum balas positif. Kepuasan bagi saya apabila program yang pertama kali saya kendalikan itu diterima baik,” katanya.

PROFIL
Nama: Shukri Ibrahim
Tarikh lahir: 4 Januari 1975
Tempat lahir: Johor Bahru, Johor
Pendidikan: Diploma jurusan kemahiran komputer
Isteri: Mazlaura Salleh
Anak: Danish Rusyaidi, 6, Dhiyauddin Rafiq, Dhiyauddin Razin, 5

Akademi Al-Quran, TV9, pukul 9.30 malam setiap Khamis

0 comments: