Ashabul Kahfi model kepada generasi muda perkasakan diri

Oleh Mohd Zamri Shafie
Penulis ialah imam Masjid Jamek Al-Khadijiah Pantai Dalam, Kuala Lumpur

ASHABUL KAHFI dirakamkan kisah mereka dalam al-Quran sebagai iktibar dan pengajaran bagi golongan muda menempuhi cabaran hidup yang sentiasa dalam gelora bahaya jika mereka tersilap langkah.


Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah al-Kahfi, ayat 13)

Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya menyatakan kisah Pemuda Kahfi yang dirakamkan dalam al-Quran adalah bagi menjawab pertanyaan orang kafir kepada Nabi Muhammad SAW yang hendak menguji kebenarannya.

Seperti yang dirakamkan dalam al-Quran, pemuda al-Kahfi ialah serombongan anak muda yang beriman (menurut riwayat daripada Ibn Abbas, jumlah mereka tujuh orang) melarikan diri ke sebuah gua untuk beribadah kepada Allah dengan bebasnya kerana rajanya yang kafir dan suka menindas orang beriman.

Sesuatu yang menakjubkan daripada peristiwa penghuni gua itu ialah mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun (berdasarkan riwayat sahih daripada Ibn Abbas), lalu dibangkitkan dalam keadaan asal. Ia juga salah satu tanda membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah sebagai pemilik alam ini.

Walaupun al-Quran tidak memperincikan siapakah orangnya Ashabul Kahfi dan di manakah negerinya, yang pasti kisah itu menjadi pengajaran dan contoh teladan.

Antara iktibar yang boleh diambil generasi muda pewaris hari ini ialah:

# Untuk menjadi umat terbaik perlu ‘diperkasakan’ jati diri dan dihiasi hati dengan keimanan, kesabaran serta keberanian. Pemuda Kahfi dikuatkan hati oleh Allah dan mereka mempertaruhkan seluruh jiwa raga demi mempertahankan tauhid (beriman kepada Allah) dan berterus terang menolak penyembahan berhala yang dipaksa oleh raja mereka.

Remaja belia hari ini perlu mengambil ia sebagai contoh dalam mengharungi cabaran yang sentiasa ada di hadapan mereka.

Golongan pemuda atau belia hari ini wajib menyaring segala yang datang dan singgah dalam kehidupan mereka.

Proses menyaring adalah cabaran yang harus didepani dengan baik. Ia perlu kepada kekuatan dengan keimanan jitu kepada Allah. Dengan keimanan yang mantap, Allah pasti mengurniakan kesabaran dan keberanian seperti dikurniakan kepada pemuda kahfi.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), tatkala mereka bangun (menegaskan Tauhid) lalu berkata; “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi. Kami tidak akan sekali-kali menyembah yang lainnya, bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.” (Surah al-Kahfi, ayat 14)

# Bijak mencari persekitaran yang baik kerana ia dapat membentuk keperibadian mulia dan terpuji. Lebih tepat lagi, mengasingkan atau menghindarkan diri daripada terjebak dengan perkara negatif yang boleh menjejaskan keperibadian dan kehormatan diri.

Mengasingkan diri tidak bermaksud lari daripada masyarakat dan tidak mencampuri urusan mereka. Golongan muda digalakkan mendampingi institusi ibadat dan kemasyarakatan seperti masjid dan surau. Perkara ini ditunjukkan Ashabul Kahfi yang lari ke gua bagi mengasingkan diri supaya tidak terjebak dalam kancah maksiat dan jalan yang mendorong melakukan kemungkaran terhadap Allah.

Ia dirakamkan dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri daripada mereka dan daripada apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan untuk kamu dengan diberi bantuan yang berguna.” (Surah al-Kahfi, ayat 16)

# Alam dunia yang fana adalah jambatan menuju akhirat yang kekal abadi. Manusia tidak seharusnya meragui bahawa selepas kematian, manusia akan dibangkitkan dan dihidupkan semula bagi menerima pembalasan.

Segala yang dilakukan di atas muka bumi berada dalam pengawasan Allah dan Dia akan membalas setiap perbuatan manusia sama ada baik atau jahat dengan balasan setimpal. Setiap mukmin diingatkan Allah dengan setiap kisah yang dipaparkan dalam al-Quran supaya dapat diambil pengajaran.

Allah mendedahkan kisah Ashabul Kahfi supaya manusia yang ingkar dan tidak percaya kepada hari akhirat insaf sesudah mengetahui perihal Ashabul Kahfi yang menakjubkan.

0 comments: