Majlis Fatwa haram pameran hantu, pelaburan internet

Oleh Baharom Bakar
(http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Mukadepan/20070413082207/Article/)

KUALA TERENGGANU: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan sebarang pelaburan melalui internet yang menjamin keuntungan secara tetap serta pameran jin, hantu dan keranda adalah haram.


Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata skim pelaburan seumpama itu, seperti yang ditawarkan Swiss Cash Mutual Fund, didapati mengandungi unsur riba.

Beliau berkata, berdasarkan rujukan beberapa ayat al-Quran, majlis itu mendapati pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap tidak dibenarkan.

"Kita menasihatkan umat Islam yang membuat pelaburan melalui internet supaya menghentikannya serta-merta.

"Masih banyak skim pelaburan berlandaskan Islam yang disediakan kerajaan, boleh disertai umat Islam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah ke-77 majlis itu di sini. Muzakarah tiga hari bermula Selasa lalu itu disertai semua mufti.

Skim pelaburan itu menjadi isu selepas Pejabat Mufti Perlis memutuskannya haram dan Johor serta Terengganu pula meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengkaji dan mengeluarkan fatwa mengenainya.

Mengenai pameran jin, hantu dan keranda yang dianjurkan sebuah syarikat, Abdul Shukor berkata, ia ditegah kerana boleh memudaratkan akidah umat Islam.

"Perkara ghaib tidak boleh dicapai (akal fikiran) manusia dan kita tidak mahu umat Islam dididik dan disogok dengan tahyul serta boleh menjurus ke arah kurafat," katanya.



Beliau berkata, keputusan majlis itu akan dikemukakan kepada semua kerajaan negeri untuk diwartakan.

"Hanya kerajaan negeri berkuasa mengambil tindakan, terutama berkaitan pameran jin, hantu dan keranda," katanya.

Pameran itu yang kini diadakan di Muzium Negeri Sembilan, sebelum ini mendapat teguran Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana disifatkan tidak memberi sebarang faedah kepada masyarakat.

Mengenai keresahan umat Islam berhubung penggunaan ayat al-Quran dan azan pada nada dering telefon bimbit, Abdul Shukor berkata, majlis itu memutuskan tiada halangan bagi menggunakannya.

Bagaimanapun, Abdul Shukor mengingatkan umat Islam supaya menggunakannya di tempat sesuai.

Muzakarah kali ini turut mencapai kata sepakat untuk menerima pakai keputusan muzakarah ke-44 pada 25 Jun 1998, berhubung penggunaan nama saudara baru, iaitu nama itu hendaklah tidak berunsur lucah dan memberi makna yang sesuai dan baik.

"Perlis juga bersetuju pada prinsipnya. Mereka hanya berbeza sedikit iaitu masih mengekalkan bin atau binti bapa yang bukan Islam itu," katanya merujuk keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis melarang orang bukan Islam yang memeluk agama Islam, menukar nama kepada 'bin atau binti Abdullah', sebaliknya mereka wajib mengekalkan nama bapa atau keturunan mereka.

INFO
Keputusan Majlis Fatwa

# Skim pelaburan melalui internet didapati mengandungi unsur riba.

# Pameran jin, hantu dan keranda boleh memudaratkan akidah umat Islam.

# Tiada halangan guna ayat al-Quran dan azan pada nada dering telefon bimbit, namun perlu pastikan tempat sesuai agar tidak mencemar kesucian ayat al-Quran.

# Menerima pakai keputusan muzakarah ke-44 berhubung penggunaan nama saudara baru hendaklah tidak berunsur lucah dan memberi makna yang sesuai dan baik.

0 comments: