Selamat pulang beraya : boleh cepat janji selamat


Seingat aku ketika belajar di kampus sudah 5 kali aku kemalangan. Ada yang bersama teman dan ada yang seorang diri. Mula-mula dengan Razali, kemudian dengan Rusli, terakhir dengan Safwan.

Paling aku tidak dapat lupakan ialah ketika bersama Rusli. Kami dari belakang memotong sebuah bas yang baru bergerak sangat perlahan. Aku seawal mungkin telah memberikan signal agar kenderaan dari belakang tahu niat kami. Kami yang dalam perjalanan ke tempat program memotong bas tersebut dengan mengambil lorong kedua, lorong paling kanan.

Hampir kami saja melepasi bas tersebut, datang dari arah kanan kami (bayangkan kami masa itu berada di lorong itu, bagaimana kereta itu masih mahu memotong kami) sebuah Perdana dengan laju dan memotong. Motor kami bergeser sedikit dengan pintu kiri kereta tersebut. Aku gagal mengawal motor dan kami terjatuh.

Dalam keadaan sakit-sakit dan kepedihan akibat kesan luka, datang pemandu Perdana tersebut menghampiri.

"Kereta akak tak ada apa-apa ke dik ? " tanya seorang perempuan separuh umur dan tidak bertudung.

Aku bangun perlahan-lahan. Kelihatan keretanya diberhentikan ditengah-tengah jalan. Aku tidak memberikan jawapan kepada soalan makcik tersebut. Sakit badan tak hilang lagi. Sakit hati pula yang ditambah.

Makcik itu terus ke keretenya dan melihat keadaan keretanya. Dari jauh aku lihat tiada sedikit kesan kemek apatah lagi kesan calar. Di dalamannya terdapat 3 orang budak perempuan. Mungkin anak-anaknya. Tanpa menghiraukan keadaan yang berlaku, makcik tersebut terus masuk ke dalam keretanya dan memandu pergi.

Seorang brother yang hampir dengan tempat tersebut menggeleng-geleng kepala. Darinya aku mendapatkan maklumat lokasi tempat dan klinik yang berhampiran utuk aku maklumkan kepada sahabat yang lain akan apa yang sedang berlaku. Hampir 10 minit kemudian datang Subki membantu.

Sebelum itu, aku pergi mendapatkan Rusli yang tidak kurang teruk lukanya dibandingkan dengan aku. Luka aku mulai memedih, badan mula terasa semakin sakit-sakit. Motor Honda CDI aku agak teruk rosaknya. Aku menolak motor aku ke tepi jalan sementara Rusli mengikuti perlahan-lahan dari belakang.

^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^

Begitulah antara kisah mengenai kemalangan yang pernah aku alami. Sehinggakan ada saja parut-parut baru yang terkesan pada lengan dan badan aku. Setiap kali ke kampung emak aku adalah antara orang yang dapat mengesan parut-parut aku, walaupun aku cuba menyembunyikan.

Hebat benar perhatian seorang ibu kepada seorang anak.

^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^

Aku mengakui bahawa aku adalah seorang yang gemar membawa motor dengan laju. Namun Alhamdulillah setakat ini segalanya tiada apa-apa. Bagi aku, untuk memandu laju kita mestilah ada segala persiapan yang terbaik. Selain pengetahun penjagaan motor,kita mestilah mengetahui apa yang patut mengenai aspek skill sehinggalah kepada faktor-faktor keselamatan yang lain. Itulah bentuk usaha yang kita perlu lakukan, selebihnya adalah ketentuan Tuhan. Apatah lagi dalam berjemaah ada saja gerak kerja yang perlu dilakukan dengan segera.

Menjadi semacam silibus tambahan bagi kami untuk mengajar junior untuk berpecut laju setiap kali hendak ke tempat ceramah mahupun untuk berdemonstrasi.

Hanya akhir-akhir ini aku seakan serik untuk berpecut laju, walaupun dengan motor KRISS aku yang baru.

Mungkin aku sudah tua untuk semua itu. Lagipun aku sering saja sakit-sakit belakang dan kejang-kejang kaki.

^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^

Apapun aku hanya hendak peringatkan semasa pulang beraya nanti, pandulah dengan hati dan berhati-hati. Tidak mengapa jika ingin pandu laju, tapi biar sampai ke destinasai dengan selamat.

0 comments: