Saat ku kirimkan pos laju ke Sri Iskandar.


Aku mulakan setelah membaca Basmalah dengan maksud ayat 4 dari surah As-Shoff : "Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berbunuhan (dalam medan perang) seperti sebuah binaan yang saling mengukuhkan. "

Melihatkan keadaan teman-teman di Kampus UTP Bandar Sri Iskandar, terpanggil dari jauh untuk aku meloloskan diri ke sana. Menghulur sedikit bantuan yang mungkin tidak dapat mengurangkan bebanan.

Bukanlah persoalan wilayah kita yang dipetakan itu menjarakkan kita. Kita punya peranan yang mencirikan dan memposisikan kita. Semudah jigsaw-puzzle yang hanya akan lengkap terpenuhkan oleh setiap dari pecahan kecil gambar-gambar yang punya kelebihan dan kekurangan masing-masing. Serumit sudoku, permaianan mengimbangi aturan kedudukan diri nombor dalam ruang yang terhad.

Perselisihan itu lumrah, perpecahan itu fitnah

'Sesungguhnya perselisihan di kalangan ummatku adalah rahmat' (maksud hadis)

Janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu. (QS. al-Anfâl: 46)

Aku suka untuk mengambil pendekatan yang mudah untuk difahami. Juga mudah untuk aku praktikkan. Kerana kedua-dua itu buah dari iman. Jangan kita lupa pesan orang tua bernama Pak HAMKA : "Iman adalah pengakuan dan perbuatan, perkataan dan tindakan".

Persoalan jemaah yang mana satu untuk aku memberikan bai'ah kepada kepimpinannya, telah aku maklumi. Dan sekali lagi, perlu ada tindakan selepas pengakuan. Kerana kita ini adalah umat yang 'Kami dengar dan kami taat'?

Dan cukup untuk aku untuk tidak memberatkan persoalan ini. Soal faham ini hanya perlukan masa yang sekejap. Kerana kita ini adalah umat yang mempunyai "kewajipan yang lebih banyak dari masa yang ada" ?

Tetapi aku pelik kenapa harus ada dari kalangan mereka yang yang mengaku faham dan hebat mahu menunjuk jaguh kepada yang lain ? Adakah kefahaman dan kejaguhan itu mahu ditunjukkan sesama kita sahaja ? Bukankah sia-sia hal seperti itu ? Tidakkah kita umat ISlam yang rugi ?

Satu saja pesan aku kepada mereka yang sebegini :
Jika kita yang mengatakan kita adalah khaira ummat, antaranya kita mesti mengerjakan yang ma'aruf dan meninggalkan yang munkar. Dalam perkara yang meninggalkan yang munkar ini kita ambil saja pengajaran maksud dari Surah Al-Maidah ayat 2 iaitu :
" Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah bertolong-tolong pada perkara dosa dan permusuhan".

Bukankah kita umat "Kami dengar dan kami taat"

HARAM bagi kita menceroboh fizikal dan perasaan saudara kita yang seIslam.

Sebagai panduan bersama ingin aku ingin lembarkan rukun ke-9 dari Arkaanul Baiah.

Dalam buku "Fi Al-Din Al-Khalis" Sadiq hasan Khan berkata: "Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat."


Persaudaraan : Rukun ke-9 Arkaanul Baiah

Persaudaraan.

Persaudaraan yang dimaksudkan di sini ialah saudara mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh saudara-saudara sekalian dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.

Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah (Persaudaraan):

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani - ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah - yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.

Hakakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:

"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan".

2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

"Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair". (Hadis riwayat ).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:

Yang bermaksud:

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).

0 comments: