Kisah Itu Kasih # 3... (mengapa susah meminta maaf ?)

Sahabat-sahabat suatu hari mendengar kuliah Subuh dari baginda Nabi Muhammad SAW, di dalam kuiliah baginda Nabi kali ini ada dinyatakan bahawa terdapat seorang lelaki di hujung sbuah kampung apabila di akhirat nanti akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Lalu sahabat-sahabat ingin mendapatkan kepastian tentang apa yang diceritakan oleh Baginda Nabi SAW. Mereka mendapatkan perihal dan juga di manakah tempat tinggal pemuda tersebut. Sehinggalah mereka berpakat untuk menziarahi pemuda itu.

Setelah memberi salam, mereka mendapatkan izin untuk bermalam di rumah pemuda tersebut. Mereka mula memasang mata melihat apakah sebenarnya ibadat pemuda tersebut. Maka dari hari ke malam dan dari malam ke hari, mereka mula tertanya-tanya. Sepanjang pengamatan mereka, tiadalah apa-apa yang dilakukan oleh pemuda tersebut selain kerja harian yang dilakukan oleh pemuda-pemuda yang sebaya dengannya dan menguruskan tanggungjawab keluarganya.

Sehinggalah mereka menceritakan isi pengajian mereka sebelum ini bersama Nabi SAW dan juga niat sebenar mereka bertandang ke rumahnya. Maka, fahamlah sipemuda aka kedudukan dirinya yang sedang diperhatikan oleh tetamunya itu.

Katanya : "Tiada amal-ibadat yang lebih aku lakukan sehari-hari. Hanya apabila malam hari, di saat aku ingin tidur aku memohon kemampunan dari Allah dan manusia. Aku juga memaafkan manusia dari kesalahan yang sengaja atau tidak tersengajakan sehari-hari hidup aku ini. "

^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^

Pada pagi hari raya Eidil Fitri tahun lepas, aku yang sudah siap berbaju Melayu dan solat Subuh sibuk 'bersarapan' biskut raya di depan TV. Ketika itu dalam rancangan kuliah Subuh TV3, Ustaz Wan Sohor Bani Leman memberikan kuliah pengisian bertajuk Kemaafan di Pagi Raya siri terakhir. Antara katanya pagi itu yang melekat di ingatan aku ialah bahwa manusia itu mempunyai perasaan yang dikatakan sebagai al hilmu war rifqu, iaitu rasa belas-peduli dan lembut hati. Begitulah sifat kejadian manusia yang Allah ciptakan.

Kedua-dua sifat yang ada pada manusia inilah yang menyebabkan apabila seseorang manusia meminta maaf kepada kita, maka kita akan memaafkan kesalahan itu walaupun sebelumnya kita begitu sakit hati akan perbuatan yang telah dilakukan. Setiap kali apabila seseorang itu meminta maaf, perbuatan minta maaf itu tadi menjadi suis yang dengannya akan menjernihkan kembali keadaan yang tegang dan marah. Perasaan marah (yang diminta maaf) dan rasa bersalah (yang minta maaf) akan dihilangkan dan digantikan dengan rasa mahabbah kepada kedua-duanya.

Nabi pernah bersabda dengan maksud yang mengatakan hendaklah orang yang bergaduh meminta maaf sesama mereka dan sesiapa yang terlebih dahulu adalah dia orang yang lebih mulia walaupun dia tidak bersalah dan baginya memiliki pahala yang lebih dari saudaranya yang seorang lagi.

Juga diingatkan kita dianjurkan meminta maaf dan bertaubat di atas segala kesalahan yang kita lakukan sesama kita. Bermaksud, adalah menjadi sebahagian syarat untuk bertaubat bagi kita meminta maaf terlebih dahulu sebelum bertaubat. Bertaubat dengan maksud menyesali akan kesalahan, berazam tidak mahu mengulangi lagi kesalahan dan kemudiannya meningkatkan amalan dengan memanjangkan silaturahim dan persaudaraan sesama manusia.

Sesungguhnya Allah akan mengampunkan kesemua dosa manusia kecuali dosa mensyirikkan-Nya dan dosa yang masih belum terlunas sesama makhluk. Dosa yang belum terlunas sesama makhluk ini mestilah dilunaskan dengan perbuatan meminta maaf dari kesalahan yang lalu, membayar hutang sekiranya masih ada hutang atau mengembalikan barang-barang yang diambil sekiranya ada.

Ingat ! Memohon maaf adalah sebahagian syarat untuk kita bertaubat.

Bagi pesalah, pastikan semasa meminta maaf, kita sedar dan menyatakan apakah kesalahan yang telah kita lakukan.

Bagi pihak yang dimohon ampun pula, berikanlah kemaafan itu tanpa syarat dan janganlah mengungkit-ungkit kesalahan orang kepada kita di kemudian harinya. Kita pula yang akan bersalah nanti sekiranya dengan sikap itu telah membuatkan orang memohon maaf tadi melakukan kesalahan yang lain kerana disebabkan rasa sakit hati kepada kita.

^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^

Bagi mereka yang memanjangkan kemaafan dan kasih sayang sesama manusia, Allah akan memanjangkan kemaafan dan kasih sayang-Nya seisi alam.

Untuk itu kita sebenarnya tidak perlu menunggu tibanya hari raya untuk kita saling memohon keampunan sesama kita. Sepertimana kita tidak perlu menunggu hampirnya ajal untuk kita saling memohon keampunan sesama kita. Sepertimana kita tidak perlu menunggu tibanya kiamat (jika di saat itu masih hidup) untuk kita memohon keampunan sesama kita.

Pesanan :

1. Bagi kita yang masih mempunya kedua ibu-bapa, manfaatkan peluang pulang beraya nanti untuk menatap wajah kedua-dua mereka. Di saat kita menatap wajah mereka dan membilang kedut-kedut yang ada pada wajah mereka, di saat itu juga dosa-dosa kita seumpama dedaun yang gugur dari reranting pokok.

2. Safwan !!! kawe maafkan demo... hahahaha

(sebelumnya)
Kisah Itu Kasih # 1... baca (Kesah Itu Kaseh)

Kisah Itu Kasih # 2... (kecil tak terpandangkan)

2 comments:

melanie said...

salam..
minta izan utk menyelitkan artikel diruangan ini di blog saya..

terima kasih.
selamat hari raya