Kisah Itu Kasih # 2... (kecil tak terpandangkan)


Air kumuran saudara seMuslim di sebelah kanan terpercik ke arah aku yang juga sedang mengambil wudhuk.

Kami masing-masing diam.

Mujurlah aku telah menyinsingkan kaki seluar aku sedikit tinggi dan air kumuran itu hanya terpercik mengenai kaki aku. Air percikan itu nanti akan dapat aku hilangkan dengan menyudahi basuhan pada kaki aku itu nanti.

Kami masing-masing diam sementara menyempurnakan wudhuk. Sekalipun ingin berbicara biarlah wudhuk disempurnakan dahulu.

Sehingga suatu masa, aku seorang diri berwudhuk di tempat yang sama. Air kumuran aku keluarkan terus ke saliran kecil di bawah. Air terpercik ke kaki. Hal yang sama berulang.

Aku sendirian diam.

Kali kedua air kumuran itu aku keluarkan ke dinding, sebelum teralir ke saliran. Kali ini air tidak
lagi terpercik. Kali ketiga juga begitu.

Aku sendirian diam terfikir akan tertib air dari hal yang berlaku. Sekalipun ingin memikirkan lagi hal itu, aku tetap ingin sempurnakan dulu wudhuk itu.

Sehinggalah satu masa selesai solat dan aku terfikirkan perkara yang berlaku semasa di tempat wudhuk tadi.

Tertib air yang tersingkap itu mengingatkan aku kepada subjek Fluid Mechanic yang telah aku pelajari. Kelajuan air di permukaan telah dilambatkan oleh kesan permukaan. Hal yang sama menjelaskan mengenai aliran air di dalam satu-satu tiub atau saluran. Selain sifat kejelekitan dan kelikatan air itu sendiri. Begitulah caranya air membawa dirinya an menyesuaikan dirinya.

Semudahnya, pengalaman
ini juga telah mengajar aku bagaimana membawa diri dan menyesuaikan diri. Memberi nilai tambah kepada ibadah yang sedang dan akan aku lakukan sehari-hari. Tertib pada air itu pasti tiada makna sekiranya aku tidak memanfaatkannya. Pasti akan ada air (kumuran) yang terpercik kepada orang lain nanti. Peristiwa tertib air dan aku itu tadi menjadi sebagai sebahagian dari perbandingan.

Bukankah kesemua makhluk (manusia dan selain-Nya) itu menyerah diri kepada peraturan atau cara yang telah ditetapkan ?

^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^*^

Mengimbas peristiwa seorang 'anak buah' aku yang dirasuk di kolej. Aku membawanya tinggal di bilik aku sementara mendapatkan rawatannya. Banyaklah usaha yang kami ambil bagi memulihkannya.

Berkebetulan pada suatu hari, 2 orang pegawai dari Pusat Islam UPM (tanpa aku sebutkan nama) mendatangi kolej kami atas urusan rasmi. Aku yang mengenali mereka memanggil dari jauh. Mereka datang mendapatkan aku sebaik sahaja terdengar panggilan.

Tujuan aku hanyalah untuk mendapatkan bantuan ataupun apa-apa pandangan dari kedua-dua mereka. Kunjungan mereka itu bertukar menjadi 'ziarah', melawat dan meringankan beban perasaan orang yang sakit.

Seorang bilal muda sempat bercerita kepada aku suatu kisah pemuda yang dirasuk dan kemudiannya pulih seperti sebelumnya.

Pemuda itu merupakan seorang yang baik dan menjaga akhlak pergaulan. Ujian (rasukan) itu adalah merupakan suatu pemberian Allah kepadanya. Dia didakwa dapat melihat perkara-perkara halus yang tidak dapat di lihat dengan mata kasar atau secara langsung. Hal seperti ini tidaklah begitu aneh. Apatah lagi bagi student seperti kita. Sememangnya manusia ini hanya dapat melihat dan mendengar dalam jarak yang sesuai bagi kemampuan mereka.

Apa yang menarik ialah bagaiman si pemuda itu tadi dapat melihat seakan-akan graf pahala (seakan indeks saham BSKL, menurut bilal muda tersebut) setiap jemaah solat Jumaat yang naik mencanak sebaik sahaja selesai beriktikaf sepanjang masa di dalam masjid. Dan graf pahala yang tinggi itu tadi kemudiannya turun mendadak ketika setiap dari mereka keluar dari masjid. Rupa-rupanya pahala yang banyak itu tadi telah berkurangan hanya kerana mereka memijak-mijak selipar (atau kasut, atau sandal dsb) orang lain sebelum mendapatkan selipar masing-masing.

Kami yang mendengar cerita tersebut terasa kerugian yang di alami oleh jemaah Jumaat sedang mereka mungkin tidak mengetahui. Kerana itulah selepas itu sering saja aku mengingatkan sahabat-sahabat yang lain akan cerita graf pahala dan selipar.

Tertib graf pahala yang terkisah itu mengingatkan aku kepada subjek Act and Action Law yang telah aku pelajari. Setiap sesuatu paling minima akan melibatkan 2 daya yang bertentangan, walaupun tidak kelihatan. Ambil contoh, kita dapat berdiri adalah kerana (dengan izin Allah), berat badan kita yang dikenakan kepada bumi sebenarnya telah disokong oleh daya graviti bumi yang tidak kelihatan. Begitu juga bola tenis yang dipukul ke dinding akan melantun ke arah bertentangan dengan sejumlah momentum yang sama banyak dengan daya yang telah dikenakan (dengan megandaikan tiada kehilangan daya, atau daya terserap).

Semudahnya, seperti tadi, pengalaman ini juga telah mengajar aku bagaimana membawa diri dan menyesuaikan diri. Telah memberi nilai tambah kepada ibadah yang sedang dan akan aku lakukan sehari-hari. Tertib pada graf pahala itu pasti tiada makna sekiranya aku tidak memanfaatkannya. Peristiwa graf pahala dan selipar itu tadi menjadi sebagai sebahagian kedua dari perbandingan pada entri aku pada hari ini.

Bukankah kesemua makhluk (manusia dan selain-Nya) itu menyerah diri kepada peraturan atau cara yang telah ditetapkan ?


Kesimpulannya :
1. Kita dan semua makhluk yang lain sebenarnya tertakluk kepada Sunnatullah yang sama. Hanya bahasa dan terjemahannya saja yang berbeza. Dan perbezaan itu adalah lumrah dan rahmah.

-->Bukankah kita dijadikan berbilang-bilang dan berpasang-pasang ? Dan tujuannya tidaklah lain adalah untuk kita saling berkenal-kenalan.

2. Harus difahami interaksi kita adalah secara mengufuk dan menegak.

-->Mengufuk, di antara sesama makhluk.
Sebarkan salam, bermanis muka, berpesan-pesan, ziarah, berzakat, tazkeerah, ceramah, berkempen pilihanraya, luaskan networking, banyakkan tahalluf, menyebarkan Islam (paksi keselamatan) dan memerangi kekufuran (paksi keganasan)

-->Menegak, di antara kita dan Allah.
Berniat, bersolat, berdoa, berpuasa, bermonolog, membaca qunut nazilah, bertawakkal

Itulah sebahagian rahsia pada yang dinyatakan Islam itu adalah : "Ucapkanlah 2 Syahadah, dan tunaikanlah Solat (menegak), dan keluarkan Zakat (mengufuk), dan tunaikanlah Puasa, dan kerjakan Haji "

3. Manusia yang pandai menjaga hubungannya dengan Allah, adalah manusia yang pandai menjaga hubungannya sesama makhluk.

--> Yang pandai menjaga hubungan dengan Allah ialah yang mempunyai Ihsan
--> Yang pandai menjaga hubungan dengan makhluk ialah yang mempunyai Ehsan

Sekian, banyak yang hendak dinukilkan. Maaf kalau tak tersusunkan. Aku tiada kemampuan.

Kecil tak terpandangkan.

(sebelumnya)
Kisah Itu Kasih # 1... baca (Kesah Itu Kaseh)

0 comments: