KaKi-Ku-KaKu

Seperti kanak-kanak yang lain, aku juga punya kawan-kawan dan suka bermain-main dengan mereka. Selain bermain, kami juga suka berjalan-jalan pusing sekeliling kampung. Kampung-kampung disekitar pun begitu juga, tidak sunyi dari 'kunjungan' kami. Lagak seperti Samseng Kampung Dusun saja.

Aku yang ketika itu sebenarnya masih baru dengan suasana sebegitu. Sebelumnya aku tinggal jauh dari kampung. Kami sekeluarga sebenarnya baru kembali ke Kelantan setelah sekian lama tinggal di selatan tanahair. Pekerjaan ayahku sebagai tentera menyebabkan kami tiada pilihan selain mengikuti ke mana sahaja seperti yang diarahkan.

(aku seperti tidak 'kaku' dengan segala suasana yang baru itu)

Aku masih ingat bagaimana seringkali emak aku risaukan aku setiap kali aku tidak pulang menjelang tengahari. Seluruh kampung dicarinya aku. Aku yang kadang-kadang terdengar dari jauh panggilan emak selalu saja tidak menyahut.

(mungkin budak seperti aku ketika itu masih belum tahu erti 'risau')

Aku mulai belajar banyak perkara bersama rakan-rakan baru yang lain. Dari melastik burung sehinggalah belajar menjerat burung. Dari membuat layang-layang sehinggalah menaikkannya. Bermain badminton (musim Piala Thomas) dan bermain bola (musim Piala Dunia). Bermain 'bola kaki 3' dan bermain 'bola wau'. Bermain kad (beli) dan main tembak-tembak (buat sendiri). Masuk kebun getah mencari buah getah dan terjun bendang atau parit besar untuk mencari ikan laga. Bergocoh dan berlumba, banyak lagi dan semua aku buat.

(sekali lagi, aku seperti tidak 'kaku' dengan segala suasana yang baru itu)

Hampir setiap kali aku pulang, biasanya selepas Asar aku akan dileteri emak aku. Apalagi sekiranya aku balik dalam keadaan kotor dan luka. Tidak kurang juga aku balik dengan sakit-sakit badan dan terseliuh.

Setiap kali itulah aku mula menghafal leteran emak aku. Antaranya, "kalau selalu jatuh-jatuh begini, tak sampai tua mesti sakit-sakit badan. Tak sayang diri ke?".

(sehingga waktu itu, aku masih budak kecil yang masih belum tahu erti 'risau')

Pernah sekali di suatu petang aku main bola dengan kawan-kawan. Sebaik sahaja aku melayangkan kaki kanan untuk merembat bola ke gawang, tetiba dan entah kenapa ibu jari kaki aku terseliuh. Petangnya aku berjalan pulang menahan kesakitan. Bola seolah-olah tersumbat dicelah ibu jari kaki dan jari yang sebelah. Ibu jari kaki aku terkeluar dari soketnya.

Selama berbulan-bulan aku menahan sakit. Aku juga pernah mengalami sakit yang sama pada ibu jari kaki aku yang sebelah kiri. Itu belum nak dikira dengan lutut aku yang sentiasa berbunyi setiap kali hendak tunduk rukuk dan sujud ketika solat.

Sehinggalah suatu hari, seorang makcik tukang urut datang bertamu ke rumah. Makcik ini sebenarnya saudara kami yang datang dari jauh. Biasanya jika dia ke kampung kami dia akan singgah bermalam di rumah nenek. Dan ramailah yang datang bertandang ke rumah nenek untuk mendapatkan khidmat urut sekiranya mereka mendapat tahu makcik tersebut bermalam di rumah nenek.

Tapi kali ini, makcik bertandang dan bermalam ke rumah kami. Tidak seperti kebiasaanya yang ramai dengan tetamu, di rumah kami makcik mula kebosanan kerana tiada apa yang dapat dibuat olehnya. Sehinggalah aku bersuara untuk memintanya mengurutkan aku.

Tanpa berlengah, hanya dengan menggunakan minyak masak aku diurutkan.

"Bakpo buleh jadi gini ni awe weh ?" tingkah makcik bertanyakan aku.

Ore main bola tok paka selipa, nak sepak bola tapi tok seko kena ssitu. balas aku sambil menahan sedikit sakit.

"Lamo doh ni napok gayo lagu ni. Payoh nok urut, nak bbetul tok tahu buleh ke dok. Keras dah." terang makcik

"Urut jah lah, nak buat guano." balas aku mengharap kaki aku akan elok.

Aku sendiri melihat dengan mata aku bagaimana kaki aku diurut. Ibu kaki aku dipusing-pusing sebelum dibetulkan duduknya ke soketnya. Aku terpaksa menanggung sakit yang berganda kerana baru sekarang hendak berurut membetulkan kaki aku yang terseliuh. Sakitnya bukan kepalang, hampir sahaja aku menjerit dan menitiskan air mata. (Tapi tak apa, anak jantan masih mampu kawal kemachoannya, ekekek (":) )

Makcik berpesan, "lain kali nak main bola pakalah kasuk ke apo ko ! Lepas tuh kalu balik sakit kaki jange lambat-lambat nok ngurut. Mujur hok ni buleh bbetul lagi. Itupun nampak mace cacat doh. Tak samo mace dulu."

Aku diam, tengok kaki aku. "Hmm tak apo, duo-duo beloh pung lagu tu gok."

"Yo lah tuh. Tok apolah. Kalu ore royak buke nok dengar." emak aku yang dari tadi mula bersuara, geram.

"Suh mokcik Jarah urut lutut tuh sekali." pantas emak pula ingatkan aku.

"Ado lagi ko ? Kuat main bola teh mu nih." balas makcik

"Tok leh nak buat gapo doh ni, lagu ni lah pah ke tuo nyo." terang makcik kepada aku

(Dalam hati) "Hai, tak sampai tuo dah sakit-sakit lah aku pah ni."

Bermula dari saat itu, aku sudah tidak berminat main bola. Kalau ada pun hanya sekejap-sekejap untuk melepaskan gian. Lama-kelamaan aku dah tak minat sangat bermain bola. Aku sudah meningkat umur dan sudah mula menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Sehinggalah 3,4 tahun kebelakangan ini kau sering merasa sakit-sakit badan dan kejang-kejang kaki. Pernah suatu ketika di matrikulasi, semasa solat aku terjelepuk dan tidak dapat bangkit dari solat. Kaki kanan aku bermula dari lutut dan ke bawah tidak dapat digerakkan. Aku panik, dicubit pun tidak terasa. Kaki aku seolah-olah kebas dan tidak dapat menerima rangsangan sakit dan sentuhan.

Disaat itu aku dapat memahami perasaan orang yang lumpuh. Itupun aku baru mengalami lumpuh kecil dan sementara. Tapi cuaknya aku ingat sampai sekarang. KaKi-Ku-KaKu.



0 comments: