Dimanakah Syed Qutb Malaysia? # 1

Dalam mengenang kisah hidup silam,
ku sedar dari kesilapan lalu,
Tuhan beratnya dosa-dosaku,
masihkah ada ampunan buatku...

Antara perkara yang paling berharga di dalam hidupku untuk dikenangkan ialah "usrah". Aku begitu terasa benarnya apa yang dikatakan oleh Asy-Sayhid Imam Hasan Al-Banna yang tidak silap aku ingat lebih kurang begini ayatnya : 'Hanya melalui Jamaah, urusan hidup ini dapat diuruskan melalui cara yang paling baik dan menepati kehendak Islam.'

Ini kerana aku telah celik dan melihat kerangka urus-hidup umat (samada Islam atau tidak) telah dirosakkan keseluruhannya. Maksud aku, manusia hari ini mengurus hidupnya bukan melalui aturan yang Alllah tetapkan. Ia adalah hanya peraturan bikinan manusia. Baik samada bikinan blok Barat ataupun bikinan blok Timur

Kata Syed Qutb : 'Islam ini diturunkan kepada manusia adalah kerana sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu, Islam tidak dapat lari dari dibangunkan sifat kemanusiaan terlebih dahulu. Barulah Islam itu akan melata dan menjadi tatacara hidup yang sempurna dan menyempurnakan (ayat terakhir ini aku tambah).'

Seperti yang aku katakan tadi, aku begitu menghargai usrah yang pernah aku lalui bersama rakan-rakan yang lain. Kami mempunyai warisan yang ditinggalkan dari naqib ke naqib. Warisan tersebut ialah, usrah kami akan mengupas buku-buku yang ditulis oleh mereka yang pernah menemui syahid. Ini kerana kata naqib aku (Abe Peja), jalan perjuangan yang ditempuhi oleh mereka yang menemui syahid adalah jalan yang mesti kita ikut jika kita hendak memastikan perjuangan kita ini diterima Allah. Ini adalah kerana mereka telah Allah benarkan janji-Nya dan menjemput mereka kesisi-Nya sebagai syuhada'. Perjuangan mereka telah disaksikan oleh Allah.

Kata-kata inilah juga yang aku dapat kesan semasa asyik aku bersembang dengan Ustaz Nazri (naqib kepada Abe Peja), iaitu katanya antara beliau suka menyimpan koleksi Karangan Asy-Syahid Abdullah Azzam yang juga menemui syahid. Abdullah Azzam adalah seorang yang gemar menulis pengalaman jihad dan tarbiyyah, dan petanda kekuasaan Allah yang dilaluinya ketika di medan juang. Banyak cerita-cerita yang bisa memugar semangat perjuangan beliau setiap kali beliau membacanya. Abdullah Azzam juga digelarkan sebagai Syed Qutb Syria. Ini kerana Abdullah Azzam berasal dari Syria dan ditarbiyyah oleh Asy-Syahid Syed Qutb itu sendiri (naqibnya).

Dari cerita-cerita itu barulah aku memahami kenapakah naqibku begitu degil dan mahu mengupas buku karangan Asy-Syahid Syed Qutb yang menjadi teks utama kami. Buku Petunjuk Sepangjang Jalan yang kami tadabbur bersama-sama itu mula mengorak derap langkah kaki ini. Kami titipkan kenangan yang tersendiri di sepanjang jalan yang kami tempuhi kemudiannya.

Aku juga ketemui jawapan kenapalah beriya benar naqib aku cuba menghabiskan bacaan buku kami tersebut biarpun kami tidak pernah menyelesaikan silibus usrah sepertimana yang ditetapkan. Bahkan orang yang berautoriti memastikan silibus ini diikuti bukannya orang lain, iaitu naqib aku juga. Jawapannya kerana naqib aku ingin mewariskan jalan perjuangan yang kami impikan, jalan orang yang menemui syahid. Juga aku memahami bahwa naqib aku sebenarnya seorang yang pemurah kerana hanya mahu mengongsikan perkara yang paling berharga didalam hidupnya dengan kami; iaitu jalan tarbiyyah yang dilaluinya. Jalan yang kami ikuti kemudiannya.

Benarlah kata seorang sahabatku, usrah yang berkesan antaranya kita dapat lihat jundiyy yang dilahirkan biasanya akan mewarisi semangat naqibnya. Dan tidak pelik jika kita melihat ada diantaranya adalah seolah-olah salinan kepada yang lain.

Melalui pembacaan buku tersebut juga telah menambahkan minat aku untuk membaca buku-buku haraki yang lain. Buku karangan Asy-Syahid Syed Qutb ternyata menjadi pilihan aku. Ini kerana asy-syahid merupakan orang yang mampu mengungkap kefahaman seerah dan kemanusiaan sendiri. Mungkin asas kesusasteraan yang dimilikinya itu banyak membantunya. Bahkan asy-syahid juga adalah orang yang mampu mnghuraikan persoalan pokok yang ditinggalkan oleh Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna.

Untuk pengetahuan kita semua, Risalah Ta'alim yang tebal itu sebenarnya hanya dicoret oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna pada 2 muka kertas sahaja. Selebihnya adalah kefahaman mereka yang pernah mendapat tarbiyyahnya dan dibukukan untuk diperjelaskan kepada 'Pemuda Ta'arif'.

Mungkin setakat ini yang mampu aku coretkan buat malam ini. Keakhiran ingin aku kongsikan serangkap lirik yang tercatit didalam buku Petunjuk Sepanjang Jalan.

Jika engkau tewas di medan jihad
Gelaran Syuhada Allah memberi
Arwah-arwah mujahid senyum melihat
Mujahid bangga melepas pergi.

::Berpesan-pesan akan kebenaran dan, berpesan-pesan dengan kesabaran::

0 comments: