Bidayatul Hidayah - Bahagian Pertama

ADAB-ADAB MELAKSANAKAN KETAATAN

Ketahuilah olehmu bahawa perintah Allah itu ada yang fardhu (wajib) dan ada yang sunnat. Yang fardhu ialah modal iaitu asas perniagaan. Dan dengan modal ini kita akan selamat, sedangkan yang sunnat itu ialah keuntungan dan dengan keuntungan itu kita akan mendapat beberapa darjat kelebihan. Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya: " Allah Taala telah berfirman (di dalam hadis qudsi) tidak ada suatu cara yang lebih sesuai untuk hambaKu menghampirkan dirinya kepadaKu dengan seumpama mereka melakukan ibadat yang Aku fardhukan ke atas mereka. Dan sentiasa seorang hamba menghampirkan diri kepada Aku dengan menambah amalan yang sunat-sunat (setelah mereka melakukan yang fardhu-fardhu) sehingga Aku mencintainya, maka apabila aku telah mencintaiNya maka Akulah pendengaran yang ia mendengar dengannya dan Akulah penglihatan yang ia melihat dengannya dan Akulah lidahnya yang ia bercakap dengannya dan Akulah tangannya yang ia menyentuh dengannya dan Akulah kakinya yang ia berjalan dengannya. "

Dan engkau, wahai penuntut - tidak dapat melaksanakan perintah Allah Taala kecuali dengan menguasai hati dan seluruh anggotamu pada sekalian masa dan nafasmu, bermula dari pagi sampai ke petang.

Dan ketahuilah bahawa Allah Taala itu mengetahui segala yang ada di dalam hatimu dan Dia menilik segala yang ada pada zahir dan batinmu. Dan Dia mengetahui segala masamu, lintas hatimu dan segala langkah-langkahmu dan segala diammu dan gerakmu. Dan sama ada engkau bergaul dengan orang ramai atau engkau duduk bersendirian, sebenarnya engkau sentiasa di dalam perhatian TuhanMu. Maka tidak diam sesuatu yang diam di alam "Mulk" (alam yang nampak oleh manusia) dan alam "Malakut" (alam yang tidak nampak oleh manusia) dan tidak bergerak segala bergerak kecuali Tuhan yang menguasai sekalian langit dan bumi itu melihat dan mengetahuinya seperti firmanNya:

Ertinya: " Dia (Allah mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati "

(Al Mukmin, ayat 19)
Dan firmanNya lagi:
Maksudnya: " Allah mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi lagi "
(Thaha, ayat 7)
Maka jagalah adab-adabmu di hadapan TuhanMu, baik zahir ataupun batin seperti beradabnya seseorang hamba yang hina yang banyak membuat kesalahan di hadapan seorang raja yang gagah perkasa. Dan bersungguh-sungguhlah engkau menjalani adab sehingga Tuhanmu tidak melihat engkau di tempat yang dia larang dan jangan sampai engkau tidak ada di tempat yang dikehendakiNya kehadiranmu. Dan engkau tidak akan mampu berbuat demikian kecuali bila engkau susunkan wiridmu (bacaanmu) daripada waktu pagi hingga ke petang. Maka dengarlah baik-baik, kerana aku akan menyebutkan segala yang disuruh oleh Tuhanmu bermula dari engkau bangun tidur (di waktu pagi) sampai kepada engkau kembali semula ke tempat tidurmu pada hari yang berikunya.

0 comments: