Pemimpin Israel akui gagal tewaskan Hizbullah

METULLA: Pemimpin dan penduduk Israel mengakui negara itu kalah dalam konflik 34 hari di Lubnan disusuli dengan pengakuan Perdana Menteri, Ehud Olmert bahawa wujud ‘kelemahan’ dalam pelaksanaan kempen ketenteraannya menghadapi pejuang Hizbullah.

Olmert membuat pengakuan itu dalam satu sesi perbahasan di Knesset (Parlimen) berikutan tinjauan pendapat mendapati majoriti penduduk Israel percaya matlamat peperangan itu tidak langsung atau sedikit saja dicapai, lapor akhbar Britain, The Independent, semalam.

Tambah memeritkan, pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah, muncul di televisyen dan mengisytiharkan kemenangan mereka yang strategik, bersejarah dan ‘dirahmati’.

Pemimpin pembangkang dari Parti Likud, Benjamin Netanyahu menyifatkan kempen ketenteraan Israel terlalu banyak kegagalan dari segi mengenal pasti ancaman, persediaan menghadapi ancaman itu selain kegagalan oleh pengurus dan pentadbir operasi.

Kritikan itu diperkukuhkan lagi dengan keputusan tinjauan Globes Smith menunjukkan 52 penduduk percaya tentera Israel tidak berjaya dalam kempen serangannya di Lubnan manakala 44 peratus percaya sebaliknya.

Netanyahu menyindir Olmert dengan berkata: “Kita tinggalkan bumi Lubnan dengan mereka (Hizbullah) terus melepaskan tembakan. Kita juga tinggalkan Gaza dengan musuh melepaskan tembakan.”

Ketika memberi ucapan, Olmert yang seringkali diganggu, terus menegaskan bahawa resolusi gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengubah keseimbangan kekuatan di sempadan utara Israel.

Tetapi, Olmert yang menang pilihan raya lima bulan lalu, mengakui bahawa beliau bertanggungjawab atas kejayaan atau kegagalan operasi ketenteraan itu.

Lebih 1,000 penduduk Lubnan terbunuh manakala 156 askar dan orang awam Israel maut dalam konflik terbaru Asia Barat itu.

Setakat ini, tentera Israel sudah berundur dari bandar Marjayoun dan beberapa kawasan berhampiran termasuk bandar berdekatan, Qlaiah.

Tentera Israel juga berundur dari Bourj Al-Mulouk, sebuah bandar di antara negara Yahudi itu dengan Marjayoun meskipun masih ada askarnya yang berkawal di kawasan berhampiran.

Gencatan senjata tajaan PBB, bagaimanapun, belum dianggap kukuh apabila askar Israel menembak mati enam pejuang Hizbullah selepas gencatan bermula pada 8 pagi waktu tempatan kelmarin.

Ini diikuti dengan serangan balas pejuang Hizbullah awal semalam dengan melancarkan 12 roket ke arah kedudukan tentera Yahudi di selatan Lubnan.

Tiada siapa mati atau cedera dan mereka tidak membalas serangan itu, kata jurucakap askar Israel. – Agensi

0 comments: