Nasyid: Semangat atau lembik?

Hasrat saya untuk menguraikan persoalan ini sebenarnya telah lama terpendam. Lagipun tidak ada keutamaan bagi saya untuk cuba meleraikan keadaan ini kerana kita masih banyak kerja-buat yang perlu dilunaskan.

Terlebih dahulu saya hendak kemukakan di sini terdapat 2 pihak yang dominan dalam persoalan ini. Pihak yang pertama ialah mereka yang menyatakan trend nasyid masakini yang tidak sesuai dengan pembinaan jiwa seorang pendokong agama. Mereka mendakwa bahawa lentok irama nasyid yang 'lembik' dan lirik yang jiwang tidak secocok dengan susuk peribadi seorang amilin.

Bahkan ada juga yang boleh dikategorikan di dalam kumpulan ini yang menolak terus sebarang jenis hiburan/nasyid. Mereka mengatakan bahawa hiburan hakiki bagi seorang amilin adalah bacaan ayat suci Al-Quran dan zikir-zikir. Kalaupun mereke menerima nasyid-nasyid pembakar semangat perjuangan seperti itu , ia adalah kerana mereka hanya tidak melarang dan hanya meraikan sahabat-sahabat mereka yang lain menghayati semangat perjuangan yang dibawa; sekadar itu.

Manakala pihak yang kedua ialah mereka yang lebih cenderung dan tidak salah untuk saya katakan mereka memang amat meminati aliran nasyid yang dikatakan beraliran kontemporari. Mereka inilah yang seringkali tampil dengan lagu-lagu nasyid yang bermesejkan kasih-sayang dan cinta; samada sesama insan ataupun cinta yang disandarkan kepada Ilahi.

Persoalan ini sering saya lihat diheret kedalam perbincangan yang tidak rasmi. Namun apa yang dapat saya lihat ialah mereka ini seringkali seolah-olah mengambil peluang menghentam pihak yang bertentangan. Dan seringkali ketika itulah saya menjadi pemerhati yang tidak sudi melihat karenah mereka.

Saya juga dapat mengesan istilah yang mereka gunakan. Pihak yang pertama menggunakan istilah nasyid dan lagu nasyid. Mereka juga memberikan perbezaan pada kedua-duanya. Manakala pihak yang kedua tidak menyedarinya dan sering saja menggunakan istilah-istilah seperti nasyid irama padang pasir dan nasyid kontemporari. Sedari itu saya mendapati mereka ini tidak akan menemui penyatuan lantaran istilah yang mereka gunakan.

Terdetik di benak pemikiran dan membandingkan situasi saya dan mereka. Kenapa terdapat orang seperti saya yang boleh meraikan kesemua bentuk hiburan alternatif ini. Lagipun saya tidak nampak persoalan ini ada samanya dengan isu Ummah Centric yang kita yakin bahawa di Malaysia ini kita wajib mendokong Jamaah yang satu itu.

Maksudnya? Soal hiburan ini kita boleh memilih genre yang kita suka tanpa kita mengabaikan ibadah dan amanah kita. Kerna ianya tidak melibatkan persoalan akidah pegangan dan fikrah perjuangan.

Ringkasnya dapat saya nyatakan disini:
1. Rujuklah sesuatu perkara itu kepada hukumnya. Sekiranya tidak menyalahi syariat apatah lagi ianya halal. Maka kita tidak perlu membanding-bandingkan persoalan ini lagi. Kalau ada perbezaan (dalam hal ini memang ada), biarlah ianya menjadi pilihan kepada mereka yang lebih menyukai sesuatu perkara itu. Kita tidak boleh memaksa orang menyukai apa yang kit suka. Sekalipun apa yang kita suka itu lebih baik dari apa yang orang suka. Tinggal lagi kita hanya boleh menerangkan dan mendoakan. Selebihnya kita haruslah berlapang dada.

2. Apabila terdapat perbezaan ini, sebenarnya bagi saya kita tidak kurang dari segi pilihan hiburan yang ada. Bahkan apabila kita bersikap membenarkan pihak kita sahaja; seolah-olah kita hanya mengiktiraf satu bentuk hiburan itu sajalah yang benar.

3. Kalaupun kita merasakan (memangpun) nasyid yang memugar semangat itu yang sewajarnya kita hayati, tetapi janganlah sampai kita lupa kepada mereka yang masih baru mengenali perjuangan ini. Golongan ini biasanya anak-anak usrah kita yang masih tidak banyak dari segi anjakan perubahan kehidupan seharian mereka. Janganlah pula ada unsur paksaan di dalam kita membentuk mereka.

0 comments: