MINTALAH FATWA KEPADA HATI

MINTALAH FATWA KEPADA HATI

“Dari Wabisat bin Ma’bad r.a. katanya: Aku datang kepada Rasulullah SAW. bertanyakan kebaikan. Baginda berkata: “ Mintalah fatwa kepada hati engkau. Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan hati engkau. Dan dosa itu ialah apa yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada, sekalipun berfatwa kepada engkau oleh manusia dan mereka telah berfatwa dengan menyalahinya. ”

( H.R. Ahmad dan Al-Darimi )


Tanda-tanda kebaikan atau perbuatan dosa dapat diketahui dari gerakan hati. Mintalah ‘ fatwa dari hati ’ adalah dalam perkara yang tidak terang hukumnya atau dalam perkara syubhat yang masih diragu-ragukan halal haramnya. Kerana hati seseorang dalam menghadapi perkara yang seoerti ini menurut kebiasaannya adalah merasa puas dan tenteram kiranya perkara itu baik, tidak ada dosa. Sebaliknya, ia ragu atau gelisah jika perkara itu tidak baik atau mengandungi dosa ataupun yang masih samar-samar hukumnya, sebagaimana kata Ibnu Mas`ud:

“ Dosa itu menggoncangkan hati ”

Jadi hati adalah pedoman atau pengukur bagi menentukan suatu perkara yang dihadapi seseorang, kerana dari isyarat atau petunjuknya dapat dijadikan pegangan yang kukuh, sekalipun ada fatwa orang lain yang bertentangan dengannya.

Dalam sebuah hadis juga dijelaskan, ketika Abu Tha`labah al-Khasyani meminta kepada Rasulullah SAW. supaya diterangkan kepadanya apakah yang halal dan yang haram baginya? Rasulullah Saw. menjelaskan kepadanya dengan mengatakan:


“ Kebaikan ( yang halal ) itu ialah suatu yang tetap oleh diri dan tenang oleh jiwa dalam menghadapinya, dan dosa itu ialah suatu yang tidak tetap oleh diri dan tidak tenang oleh hati, sekalipun orang telah berfatwa kepada engkau. ”

( H.R. Ahmad )

Ketika Wailah bin al-Asqa berkata kepada Rasulullah SAW.: “ Berilah kepadaku satu fatwa tentang suatu perkara sehingga aku tiada lagi akan bertanya suatu perkara kepada seseorang sesudah engkau. ” “ Mintalah fatwa kepada diri engkau sendiri . ” Kataku: “Bagaimana yang demikian? ” Rasulullah SAW. Menjawab: “ Engkau tinggalkan apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan, sekalipun telah berfatwa kepada engkau oleh sekalian orang yang berfatwa. ” Kataku lagi:“ Bagaimanakah yang demikian? ” Jawab Nabi SAW:” Letakkan tangan engkau ke atas hati engkau ( bagaimanakah keadaan perasaannya ). Kerana hati akan tenang kepada perkara yang halal dan tiada tenang kepada yang haram. ”
( H.R. At-Thabarani )

Demikianlah keadaan hati atau jiwa seseorang dalam menentukan suatu perkara yang diragu-ragukan atau dalam masalah yang tidak diketahui hukumnya.

Adapun dalam perkara yang sudah terang diketahui hukumnya berdasarkan dalil syara’, maka tidaklah lagi dikehendaki meminta fatwa dengan hati. Tetapi hati itu sendiri mestilah patuh kepada hukum yang telah ada nasnya samada hatinya merasa tenang ataupun tidak. Misalnya, syara’ membenarkan sesorang tidak berpuasa ketika dalam perjalanan atau dalam kesakitan, dan ia tidak senang hati dengan hukum itu.

Pendek kata, hendaklah menuruti hukum yang ada nasnya walaupun hatinya menolak. Kerana tiada jalan lain bagi seorang yang beriman kecuali mematuhi Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT:

“ Dan tidaklah layak bagi seseorang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-NYa memutuskan ( sesuatu hukum ) ada lagi bagi mereka ( hak ) memilih dari urusan mereka. ”
( Al-Ahzab: 36 )

Inilah perintah Allah dalam perkara yang telah dinaskan, iaitu yang telah ada nas menetapkan hukumnya. Adapun perkara yang meragukan hati, yang tiada nasnya dari Allah dan Rasul tiada pula dari sahabat-sahabatnya serta tidak didapati dari orang yang terpercaya ilmu dan agamanya, dan kalaupun ada, tetapi fatwa itu didasarkan kepada sangkaan atau pendapat dan tiada disandarkan kepada dalil syara’, maka pada waktu itu hendaklah ia menurut apa yang terasa dalam hatinya dan di sinilah ia menentukan sikap, walaupun ada orang yang mengeluarkan fatwa berlainan dengan rasa hatinya.

Hati seseorang adalah penunjuk kepada suatu pekerjaan yang akan dilakukannya. Kerana itu sudah sepatutnya ia mengetahui keadaan perasaan ataupun getaran hatinya atau jiwanya sbelum dikerjakan. Kalau dirasakan ada ketenteraman atau ketenangan, kerjakanlah. Sebaliknya kalau tidak, tinggalkanlah.

Menurut riwayat dalam kitab Syarah al- Arba`in al-Nawawiyah, bahawa Nabi Adam a.s. berwasiat kepada anak-anaknya dengan beberapa wasiat. Di antaranya ia berpesan:

1.Jika kamu hedak berbuat sesuatu, tetapi hati kamu gelisah kerananya, maka janganlah kamu perbuat. Kerana aku sewaktu akan memakan buah kayu, hatiku telah bergoncang dan gelisah.

2.Jika kamu hendak mengerjakan sesuatu, lihatlah kesudahannya. Kerana kalau aku lihat atau fikirkan tentang akibat daripada makan buah tersebut, tentu tidak aku makan.

3.Jika kamu hendak melakukan sesuatu perkara, maka berundinglah dengan orang-orang tertentu. Kerana kalau aku dahulunya berunding dengan malaikat, tentu diberitahu kepadaku supaya jangan memakan buah yang terlarang itu.

0 comments: